Malaysia Dateline

Anwar yakin, PH dan BN akan tubuh kerajaan bersama, terbuka untuk parti Borneo

Selepas selesai pertemuan dengan Barisan Nasional (BN), Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin akan dapat membentuk kerajaan dengan majoriti yang lebih besar dari yang dijangka sebelum ini.

Menurut Anwar, BN sedang berusaha untuk memastikan semua ahli Parlimennya bertindak secara kumpulan dan menarik balik surat Akuan Bersumpah (SD) yang telah mereka buat untuk menyokong Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebelum ini.

“Kita telah mencapai persetujuan bersama untuk membentuk kerajaan,” kata Anwar selepas pertemuan beliau dan pimpinan Pakatan Harapan dengan pemimpin Barisan Nasional di Hotel Seri Pasific hari ini.

Dalam sidang media itu, Anwar menafikan ini kerajaan PH atau DAP tetapi ini adalah kerajaan perpaduan antara pelbagai pihak.

“Ini bukan kerajaan PH atau DAP tetapi unity goverment,” kata Anwar yang juga berkata, fokus beliau kini adalah untuk membentuk kerajaan yang stabil bagi memulihkan ekonomi.

Menurut Anwar, kenyataan yang dibuat oleh beberapa Ahli Parlimen Umno yang menyokong Perikatan Nasional sebelum ini dibuat sebelum keputusan dibuat oleh parti masing-masing.

“Semua Ahli Parlimen mereka akan menantangani SD secara blok dan keputusan yang dibuat sebelum ini terbatal. Ini memberikan kemungkinan kita akan menubuhkan kerajaan dengan majoriti yang lebih besar dari apa yang kita jangka,” kata Anwar.

Sementara itu, pembantu kepada Datuk Seri Hishamuddin Hussain berkata, kenyataan bahawa 10 MP Umno menyokong Tan Sri Mahiyaddin Md Yassin adalah palsu.

Menurut FMT, pegawai komunikasi Hishamuddin itu berkata, kenyataan yang menyatakan 10 MP Umno menyokong PN itu adalah palsu.