Malaysia Dateline

Anyaman tikar dan pembentukan negara Malaysia

Semasa ke Sarawak saya pernah pergi ke kedai menjual barangan kraftangan di Kuching. Apa yang menarik ialah tikar asli yang dijualnya. Antara tikar berkualiti ialah tikar kayu Palembang dan Tikar Rotan Anyaman Segak Mas.

Tikar Sarawak yang asli dibuat oleh masyarakat Bidayuh Sarawak berasal daripada rotan dan dianyam dengan kulit kayu. Amat cantik anyamannya yang diilham dengan bahan-bahan alami.

Tidak lupa juga dengan tikar anyaman Sabah. Tikar ini mempunyai dua lapisan iaitu bahagian atas dianyam dengan pelbagai corak kelarai dan bahagian tapak sebagai pelapik yang dianyam tanpa motif kelarai. Bahannya adalah bilah pandan lebih besar dan tanpa menggunakan warna.

Bagi saya pembentukan negara bernama Malaysia ini dapat disamakan dengan anyaman tikar.

Anyaman ini membangun sesuatu, sebuah struktur, dari bahan-bahan semujadi yang diambil daripada sumber asli belantara.

Begitu dengan bahan penyusunan sejarah Malaysia yang bagaikan bahan semulajadi itu iaitu ingatan. Sejauh ingatan penganyam tikar di Sarawak yang menganyam tikar dengan pohon dan dedaunan semulajadi dan warna-warni tikarnya yang sentiasa segar.

Atau adakah anyaman ini akan bertukar suasanannya mengikut masa untuk dijual kepada pelanggan. Adakah ia juga mengikut cita rasa pembelinya.

Ingatan terhadap strukturnya masih kuat dan stabil; tetapi adakah ingatan tersebut akan berubah kepada bahannya yang mungkin semakin pupus atau penukaran warna tikarnya yang mengikut keadaan, daripada warna asli kepada warna tiruan.

Seperti tikar, ketika ia menampakkan diri di depan kita, tetapi sebenarnya ia juga dalam proses berubah.
Jika kita agak lama tidak membeli tikar hiasan yang dianyam daripada bahan semula jadi tiba-tiba yang dijual adalah tikar plastik atau tikar getah yang bahan-bahannya bahan kimia daripada produk kilang, kita tentu tidak minat atau berasa tidak pasti untuk membelinya kerana perubahan kepada bahan dan warnanya.

Tikar tradisional boleh mengalami perubahan. Berbeza dengan tikar plastik yang tahan lasak, mencari bahan daripada produksi kilang. Tetapi apakah nilai antara keduanya, yang asli dengan yang plastik, warna alami dengan warna sintetik.

Begitu juga penulisan sejarah: ia bernilai kerana ia mengandung pengakuan dan persaksian di mana masa lalu sebenarnya akan kekal hidup tetapi kekadang diberikan tafsiran baharu bersandarkan fakta asas yang lama.

Kita tidak mahu ia ibarat tikar plastik yang berubah terus konteksnya dengan sejarah tafsiran palsu atau mengikut kepentingan tertentu. Lalu saya teringat kepada pembentukan Malaysia pada 16 September.

Hari ini Malaysia adalah sebuah negara. Kita memberinya nama dan merayakannya. Apa yang kita ingat dan fahami mengenai pembentukan Malaysia ini. Apa yang kita ketahui asalnya ialah Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura menyertainya.

Brunei menolak dan Singapura keluar daipada Malaysia pada 1965. Maka Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Banyak cerita di sebalik pembentukan Malaysia. Ada kisah  ancaman teori domino yang dipopularkan oleh pihak America semasa Perang Dingin menakut-nakutkan negara pro Barat yang baru merdeka dan jajahan penjajah.

Teori yang diutarakan oleh Presiden Dwight D. Eisenhower pada tahun 1954 mengandaikan bahawa sekiranya
sebuah negara di kawasan tersebut jatuh ke tangan komunis (Vietnam) maka negara-negara berdekatan yang lain akan terus jatuh seperti domino.

Pengaruh komunis telah mula menyusup masuk ke Sarawak sejak awal tahun 1950an lagi. Mereka cuba menguasai sekolah serta mempengaruhi anak-anak muda. Pengaruh mereka diperluaskan ke dalam sistem pendidikan, kesatuan sekerja, politik dan juga media cetak.

Menurut Porritt (1997 : 77-78), Sarawak Liberation League telah ditubuhkan pada bulan Mac tahun 1954 dan diganti dengan Sarawak Youth’s Asociation (SAYA).

Pembentukan Malaysia berdepan pelbagai cabaran dengan penentangan dimulakan pada 1962 oleh A M Azhari, pemimpin Parti Rakyat Brunei dan perisytiharan konfrontasi oleh Indonesia melalui Presiden Sukarno.

Di Manila, ada tuntutan ke atas Sabah dikembalikan kepada Filipina dengan alasan wilayah itu milik keturunan Sultan Sulu yang memeterai perjanjian dengan Kerajaan British pada 1878.

Sejarah, di sebalik tikar yang rapi itu, tidak semuanya rapi. Ia punya elemen yang disebut keyakinan. Proses anyaman itu adalah sebuah keyakinan tetapi kadang-kadang terdapat cabaran dalam anyaman yang memerlukan ketelitian dan kesabaran.

Anyaman pembentukan Malaysia adalah sebuah “kejadian” di mana setiap ikatannya adalah satu Malaysia yang utuh, dengan situasi yang stabil.

Maka dalam anyaman tikar ini mestilah tidak berlatarkan sesuatu kaum atau bangsa, berteraskan Semenanjung meninggalkan Sabah dan Sarawak. Atau anyaman hanya Sabah atau Sarawak dan meninggalkan Semenanjung di atas faktor-faktor diskriminasi era lampau.

Kita harus teruskan anyaman tersebut sebagai asas kepada pengukuhan supaya Malayia bukan sahaja Semenanjung bukan sekadar Melayu, Cina dan India tetapi adalah kepelbagaian dalam suatu perpaduan, suatu anyaman tikar perpaduan bernama #KamiMalaysia yang bukan sahaja memperlihatkan “kita” sebagai luaran tetapi juga sebagai dalamannya.

————
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran Universiti Malaysia (Unisel)