Polis tidak diberi kuasa tolak sebarang perhimpunan

Polis tidak diberi kuasa tolak sebarang perhimpunan

 

 

Peguam Zulhazmi Shariff menegaskan peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 tidak memberikan sebarang kuasa kepada pihak polis untuk menolak sebarang perhimpunan.

 

Zulhazmi Shariff Peguam Zulhazmi Shariff menegaskan peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 tidak memberikan sebarang kuasa kepada pihak polis untuk menolak sebarang perhimpunan.

Menurutnya, APA 2012 menghendaki pihak polis memudahkan dan mengawal perhimpunan yang hendak dianjurkan seperti peruntukan Seksyen 8 berkaitan tanggungjawab polis iaitu mengambil apa-apa langkah bagi memastikan perhimpunan teratur.

“Pihak polis hanya boleh mengenakan sekatan di bawah Seksyen 15 APA 2012. Itu pun setelah semua proses lain dipenuhi. Apa prosesnya? Selepas menerima makluman dari penganjur di bawah Seksyen 9 (1), pihak polis hendaklah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 12 (1).

“Pihak-pihak yang berkepentingan boleh membuat bantahan bertulis dan pihak polis boleh mempertimbangkan bantahan yang dibuat untuk membuat sekatan di bawah Seksyen 15,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Ahmad Termizi Abd Haq yang menolak permohonan penganjur program perdebatan antara Tun Mahathir dan Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz pada 25 Mac ini.

Terdahulu, Ahmad Termizi dilapor berkata, keputusan berkenaan mengambilkira faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai.

Sehubungan itu, Zulhazmi berpendapat dakwaan bahawa pihak polis telah menerima bantahan secara bertulis dan laporan polis oleh orang awam bukan alasan untuk menolak perhimpunan.

“Bantahan dan laporan polis boleh diambil kira untuk sekatan dibuat bukan menolak perhimpunan. Bantahan juga setelah notis Seksyen 12 dikeluarkan.

“Notis belum keluar dah ada bantahan, bantahan adalah pra matang yang tak wajar diambil kira. Kelewatan makluman juga bukan alasan menolak perhimpunan.

“Jika makluman tidak cukup 10 hari, pihak polis tidak wajar menolak atau memberhentikan perhimpunan sebaliknya berjumpa penganjur seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 13 APA 2012.

“Bincang dan kemukakan cadangan bukan mengeluarkan kenyataan yang jelas bercanggah dengan undang undang,” kata beliau.

Langgar APA 2012 

Menurutnya, penganjur tidak melanggar APA 2012 sebaliknya pihak polis sehingga kenyataan tersebut dikeluarkan terlebih dahulu berbuat demikian kerana telah melampaui bidang tugas yang diberikan.

Pada masa sama, Zulhazmi menyifatkan ungkapan ‘menolak permohonan’ yang polis gunakan merujuk kepada program yang dirancang bertempat di Dewan Maktab Rendah Sains Mara, Kati, Kuala Kangsar itu adalah bercanggah dengan APA 2012.

“APA 2012 tidak memerlukan penganjur sesuatu perhimpunan membuat permohonan kepada pihak polis. Seksyen 9 (1) APA 2012 yang dirujuk oleh Pemangku Ketua Polis Perak hanyalah makluman.

“Seksyen 9 (1) menyatakan bahawa “Seseorang penganjur hendaklah, sepuluh hari sebelum tarikh perhimpunan, memberitahu Pegawai yang Menjaga Daerah Polis di mana perhimpunan itu hendak diadakan”. Jelas, Seksyen 9 (1) hanya memerlukan penganjur memaklumkan bukan membuat permohonan,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis meneliti terlebih dahulu peruntukan APA 2012 berkaitan kuasa dan budi bicara.

“Program perbahasan yang hendak dianjurkan bukan program gusti atau tomoi yang melibatkan perlawanan fizikal. Kedua-dua pihak yang mengambil bahagian bukan samseng jalanan tetapi Menteri dan bekas Perdana Menteri. Polis perlu lebih munasabah dalam menjalankan kuasa mereka,” tambahnya lagi.

TAGS