Apa 4 keutamaan Nik Aziz dalam mendidik anak?

Apa 4 keutamaan Nik Aziz dalam mendidik anak?

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz berkongsikan empat perkara yang diutamakan ayahnya dalam mendidik mereka 10 adik-beradik.

Beliau berkata, ayahnya Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat amat menekankan sembahyang berjemaah, membaca al-Quran, mengasingkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan serta menjaga aurat anak-anak sejak kecil.

“Selepas sembahyang Subuh dan Maghrib, ini wajib (baca al-Quran). Ada masa khusus untuk belajar (al-Quran). Kita tidak boleh pergi mana.

“Adik beradik saya 10 orang. Masa yang susah (faham baca al-Quran) belajar tiga kali sehari sehingga Alhamdulillah semua boleh baca,” ujarnya.

Ustaz Nik Omar berkongsi hal sedemikian dalam program Piknik Keluarga di Taman Tasik Shah Alam Seksyen 7 baru-baru ini.

Menyentuh tentang kewajipan bersembahyang, beliau mengingatkan solat fardu sebagai paksi ibadat yang perlu dilatih sejak usia anak kecil lagi.

“Kalau umur 6, 7 tahun, paling kurang kita beritahu sudah masuk waktu solat Subuh.

“Kita gerak anak waktu solat Subuh walaupun dia mulanya mungkin payah. Kita kejutkan dia setiap hari sama ada setengah jam sebelum masuk Subuh bergantung pada tahap umurnya.

“Sejak kecil lagi kita kena didik sehingga kita pastikan apabila akil baligh lekatlah (tidak tinggal) sembahyang. Tidak boleh apabila sudah akil baligh baru suruh solat,” pesannya.

Sentuh kaki

Mengimbau cara didikan ayahnya tentang ibadat solat, beliau berkata, Almarhum sendiri mengejutkan anak-anaknya dari lena setengah jam sebelum masuknya waktu Subuh.

“Kalau (mengaji) al-Quran, mak yang ajar, ayah hanya pantau. Tapi kalau waktu sembahyang terutama Subuh, dia (Nik Aziz) sendiri kejutkan.

“Dia kejutkan mudah saja. Dia sentuh kaki dia dengan kaki saya sebagai anak sulung.

“Kita ini takutkan dia. Bila bangun takkan tidur dah. Memang bangun dan pastikan adik-adik yang lain juga bangun.

“Anak-anak lelaki ini dia (Nik Aziz) pastikan mesti sembahyang berjemaah di masjjid.

“Setiap kali selepas sembahyang, dia akan toleh belakang pastikan ada atau tidak anak-anak dia,” katanya.

Ustaz Nik Omar juga mendedahkan beliau satu-satunya murid sekolah ketika berusia 10 tahun pada 1975 yang memakai seluar panjang.

“Masa itu sekolah rendah, saya sudah pakai seluar panjang. Masa itu semua murid sekolah rendah masih pakai seluar pendek,” katanya lagi.