Malaysia Dateline

Apa ada dengan Gunung Ledang, ini pengalaman orang kulit putih lebih satu abad lampau

Alfred Russel Wallace sudah mula merintis hutan dan mendaki Gunung Ledang 168 tahun lampau. Beliau bahkan jumpa “lumut setinggi lutut” di sana dalam pendakiannya bersama “enam orang Melayu”.

Dari puncak Gunung Ledang, Wallace mencatatkan pemandangan lewat petang dari ketinggian 4,000 kaki (1,219 meter) yang sangat indah menerusi bukunya, ‘The Malay Archipelago’:

“Barisan bukit dan lembah ditutupi rimba dan sungai-sungai berliku di antaranya. Di kejauhan yang terlihat hanya hutan belaka.”

Tidak hairanlah Bapa Biogeografi abad ke-19 dari Britain ini merumuskan pendakiannya di Gunung Ledang sebagai:

“Saya selalu mengenang perjalanan ini sebagai perkenalan saya dengan pemandangan gunung tropis di Timur”.

Bagaimana pengalaman Wallace mendaki Gunung Ledang yang sudah lama disebut dalam Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) itu?

“… kami memasuki hutan yang pepohonannya tinggi dan hampir tidak ada semak. Kami terus mendaki lereng yang agak menanjak sejauh beberapa batu dengan jurang dalam di sebelah kiri.

“Kemudian lereng semakin terjal (jurang yang hampir tegak lurus) dan hutan semakin lebat. Akhirnya, kami sampai di padang batu.”

Bagaimana pula keadaan kawasan berupa padang terdiri daripada batuan itu?

“Padang batu adalah lereng miring yang berbatu dengan permukaan rata. Beberapa bahagian terbuka tanpa ditumbuhi tumbuhan apa pun, tetapi di bahagian yang pecah atau terbelah terdapat tumbuh-tumbuhan.

“Yang paling menarik adalah tumbuhan kantong semar (periuk kera). Di sini juga ditemukan beberapa pohon berdaun jarum (Coniferae) dari genus Dacrydium.

“Selain itu, kami juga menemukan pakis Dipteris horsfieldii dan Matonia pectinata. Jenis pakis yang terakhir berdaun lebar seperti pohon palma dan batangnya setinggi enam hingga lapan kaki (1.8-2.4 meter).”

Dipteris
Matonia pectinata

Wallace ketika itu menyebut Gunung Ledang sebagai ‘Ophir’ yang mulanya digunakan penjajah Portugis selepas menguasai Melaka pada tahun 1511.

Perkataan Ophir berasal daripada bahasa Yunani dan Hebrew bermaksud larangan. Jadi Gunung Ledang = Gunung Larangan.

Di puncak tertinggi di negeri Johor yang berbatu-batu ketika tahun 1854 itu, banyak ditumbuhi Rhododendron /Azalea serta belukar lain.

‘Misteri’ Gunung Ledang ini dengan segala kekayaan khazanah biodiversitinya mesti diinsafi dan dipelihara terutama kalangan pembuat keputusan di peringkat Pihak Berkuasa Negeri.

Jika Wallace dahulu yang telah mengembara di hutan dan gunung di negara sekarang dikenali sebagai Malaysia dan Indonesia bimbangkan kesan aktiviti manusia terhadap alam sekitar, apatah lagi generasi kita pada hari ini.