Apa akan berlaku pada tahun 2020 di Kuala Lumpur?

Apa akan berlaku pada tahun 2020 di Kuala Lumpur?

Apa yang akan berlaku pada tahun 2020 di Kuala Lumpur?

Bagi orang buku, tentulah ‘pesta’ aktiviti buku untuk KL World Book Capital (KLWBC) yang diiktiraf oleh UNESCO.

Masih lagi kedengaran bunyi kurang faham tentang pengiktirafan ini.

Begini.

KLWBC adalah suatu ‘supaya’, bukannya ‘kerana.’

KLWBC berlaku SUPAYA budaya buku lebih semarak di kota ini.

Apabila saya kata lebih, maksudnya budaya ini sudahpun wujud selama ini. Kita ada banyak penggerak aktiviti buku.

Selain MyMove sendiri yang menjalankan aktiviti [email protected] sejak 2010 di KL, ada Books On The Move yang mewujudkan sudut bacaan di stesen-stesen LRT, ada Gerakan Membaca Sambil Menunggu yang meletakkan bahan bacaan di lokasi menunggu seperti klinik dsb, Buku Jalanan Chow Kit, dan banyak lagi. Semuanya digerakkan sama ada oleh persatuan berdaftar, sekumpulan kawan-kawan, ataupun individu.

Maknanya, KLWBC bukanlah suatu program yang rakyat hanya menunggu kerajaan PBT (dalam hal ini, DBKL) anjurkan. Tetapi, rakyat sendiri boleh anjurkan, kali ini dengan sokongan DBKL.

Kata mudahnya, kita bukan menadah, kita tidak perlu minta VIP datang memotong reben. Kita boleh memberi.

Apa untungnya KLWBC, dan kepada siapa?

Sebagai penulis/pembaca yang direzekikan mengunjungi 7 daripada 19 World Book Capital di seluruh dunia, saya ingin berkongsi apa yang saya perhati.

KL tidak akan jadi sebuah kotaraya yang penghuninya makan buku, tidur buku. Tidak. KL cuma akan bertambah meriah dengan lokasi buku sebagai antara tarikan pelancong.

Lorong buku, galeri buku, tapak rumah penulis, rumah kelahiran penulis, kafe tempat penulis suka melepak, kafe buku, kedai buku indie, kiosk buku, muzium berkaitan buku dan sastera. Ini antara lokasi kegemaran pelancong terutama dari Barat dan Asia Timur yang sememangnya mencintai buku.

Di Turin, Itali (WBC 2006), ada lokasi rumah lama filsuf Friedrich Nietzsche dan tempat beliau berbisik kepada kuda sebelum rebah dan menghidap penyakit misteri.

Di Ljubljana (WBC 2010), lorong-lorong dinamakan dengan nama penulis. Monumen France Prešeren, penyair yang puisinya dijadikan lagu kebangsaan Slovenia, didirikan di Prešeren Square.

Ada Museum of Korean Modern Literature, Art Platform, dan Fairy Tale Village di Incheon, Korea Selatan (WBC 2015).

Perpustakaan Bibliotheca Alexandrina di Iskandariah, Mesir (WBC 2002) dan kedai buku indie Desperate Literature di Madrid, Sepanyol (WBC 2001), masuk dalam risalah pelancongan bandar masing-masing.

Dan hari ini di Kuala Lumpur (WBC 2020), bas GoKL telahpun memasang beacon untuk penumpang meminjam dan memuat turun ebook secara percuma melalui fungsi Bluetooth.

Selain memeriahkan pelancongan Kuala Lumpur yang juga antara 7 Kota Ajaib Dunia, apabila buku ada di sana sini, yang beruntung adalah penulis.

Satu daripada aktiviti MyMove ialah MyBookMove iaitu kelab buku yang tidak hanya mengadakan sesi baca buku dan bedah buku. Malah mengekstrak konten buku menjadi aktiviti yang menarik. Penulis sendiri boleh menjadi tekong dalam aktiviti ini, sambil menjual buku sendiri.

Books On The Move dan Gerakan Membaca Sambil Menunggu, meletakkan buku di ruang awam untuk dibaca secara percuma. Sekaligus menjadi pemasaran tidak langsung kepada buku berkenaan.

Apabila warga kota semakin biasa dengan buku, industri buku akan kembali meriah.

Kita mulakan semua ini di Kuala Lumpur dahulu.

2021, sama-sama kita luaskan pula ke kota dan pekan lain, di seluruh Malaysia. Insya-Allah.

* Azzah AR merupakan penulis yang mengembara, pengembara yang menulis.