Malaysia Dateline

Apa alasan ambulans kena tahan, konvoi PM diutamakan?

Ambulans dengan siren dibunyikan yang ditahan polis trafik di Johor Bahru adalah bagi memberi laluan untuk konvoi Perdana Menteri dari arah Taman Tasek yang telah masuk ke jalan utama dengan kelajuan tinggi dari jejambat.

Sumber dipetik Malaysiakini memberitahu jika ambulans itu dibenarkan meneruskan perjalanan, ia berisiko bertembung dengan konvoi di depannya.

Namun, katanya lagi, ambulans itu diberi keutamaan berbanding kenderaan lain dan dibenarkan meneruskan perjalanan terlebih dahulu selepas konvoi berlalu.

Terdahulu, tular rakaman video yang memaparkan polis trafik menahan sebuah ambulans bagi memberi laluan untuk konvoi masuk ke jalan utama di Johor Bahru.

Rata-rata orang ramai mengecam tindakan itu dengan antara lain secara sinis menganggap nyawa boleh tunggu tetapi VIP jalan dulu.

Apa alasan ambulans kena tahan, konvoi PM diutamakan?
Ambulans itu ditahan bagi mengelak daripada bertembung dengan konvoi di depannya.

Insiden tersebut difahamkan berlaku pada 5 Mac lepas melibatkan konvoi Perdana Menteri selepas pemimpin Umno-BN itu melancarkan program Aspirasi Keluarga Malaysia di Plaza Angsana di Johor Bahru.

Pada Disember lalu, sebuah ambulans turut ditahan di Hulu Langat, Selangor bagi memberi laluan kepada konvoi Ismail Sabri ketika dia melawat kawasan yang terjejas akibat banjir.

Selepas rakaman video insiden itu tular, Polis Selangor menjelaskan langkah itu dibuat atas faktor keselamatan.