Malaysia Dateline

Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) ketika sidang media pertama beliau hari ini selepas Bersatu di daftarkan ke Pendaftar Pertubuhan.

Apa berlaku jika Tun M dan MP tinggalkan Bersatu, sokong PH?

Apa akan berlaku jika para ahli parlimen Bersatu keluar meninggalkan parti itu selepas Presidennya Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan partinya keluar meninggalkan Pakatan Harapan.

Ini kerana jika ramai bersama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad kekal menyokong PH bermakna jumlah bilangan ahli parlimen yang menyokong pasukan Muhyidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membentuk pakatan baru akan terjejas.

Tambah-tambah lagi apabila AMANAH dan DAP telah membuat kenyataan terbuka akan terus memberikan sokongan kepada Tun Mahathir.

Tun Dr Mahathir Mohamed meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Bersatu hari ini selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Beliau dikatakan akan meninggalkan Bersatu bersama para penyokongnya dan kekal bersama PH.

Perletakan jawatan Tun Dr Mahathir ini dikatakan berpunca dari sikap beliau yang tidak bersetuju dengan keputusan majoriti pimpinan Bersatu yang mahukan parti itu keluar dari PH.

Menurut sumber, turut bersama Tun Mahathir adalah sekurang-kurangnya enam ahli parlimen dari Bersatu yang bakal memberikan implikasi baru kepada jumlah sokongan kepada kumpulan-kumpulan yang berebut sokongan politik sekarang.

Enam ahli parlimen yang dikatakan bersama Tun adalah Syed Sadiq Abdul Rahman (Muar), Dr Mazlee Malik (Simpang Renggam), Rina Harun (Titiwangsa), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Marzuki Yahya (senator) dan Datuk Seri Redzuan Yusof (Alor Gajah).

Menurut satu kenyataan dua perenggan yang dikeluarkan oleh Bersatu hari ini, Tun Mahathir telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.

“Surat tersebut telah dihantar kepada ibu pejabat Bersatu hari ini,” kata kenyataan Pejabat Pengerusi Bersatu itu.

Sebelum ini, Malaysiadateline menyiarkan laporan bahawa Tun Mahathir kecewa dengan keputusan pemimpin Bersatu untuk keluar dari Pakatan Harapan.

Ia dinyatakan Tun Mahathir dalam mesyuarat Bersatu yang diadakan pagi semalam di ibu pejabatnya yang terletak di bangunan Yayasan Selangor, dekat Petaling Jaya.