Malaysia Dateline

Apa berlaku kepada perancangan jangka panjang ATM?

Menteri Pertahanan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diminta menjelaskan apa yang berlaku kepada perancangan jangka panjang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah disusun oleh kerajaan sebelum ini.

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, kerajaan PN perlu melakukan lebih daripada sekadar menunjukkan keupayaan dalam mengendalikan aktiviti harian.

Sebaliknya, kata beliau, ia perlu menjawab persoalan jangka masa panjang berkenaan isu-isu sistemik dan memberi pandu arah kepada Angkatan Tentera dan negara.

“Mengiktiraf KPP (Kertas Puteh Pertahanan) sebagai rangka kerja utama akan membantu untuk memberi panduan ke hadapan,” kata beliau dalam satu kenyataannya.

Menurut beliau, “Kad Laporan 100 Hari” Menteri Pertahanan hanya menunjukkan kegiatan harian Kementerian dan Angkatan Tentera dalam mengendalikan PKP, tetapi tidak menjelaskan halatuju Kementerian dan ATM dalam mengharungi cabaran strategik lain.

“Walaupun pengendalian PKP dalam menghadapi gejala COVID merupakan tugas penting buat waktu ini, ia bukan tugas tunggal Menteri Pertahanan,” katanya.

Bagi beliau, Malaysia terus menghadapi cabaran keselamatan lain, dan reformasi pertahanan yang telah digariskan dalam KPP adalah amat diperlukan.

“Kami ingin mengingatkan Menteri Pertahanan bahawa pada 12 Mac 2020, beliau telah mengiktiraf KPP sebagai satu garis panduan pembangunan ATM.

“Mantan Menteri Pertahanan, Saudara Mohamad Sabu, dan saya sendiri pada awal tahun ini telah memulakan perancangan untuk melaksanakan perubahan yang akan dibawa oleh Kertas Putih Pertahanan,” kata beliau.

Menurut strategis dari DAP itu, perancangan ini sepatutnya dibincangkan pada akhir bulan Februari, iaitu ketika bermulanya Langkah Sheraton.

“Perancangan kami merangkumi enam teras strategik, iaitu Peningkatan Kesiagaan dan Keupayaan Pertahanan, Pengukuhan Kapasiti Pertahanan yang Kompeten, Pelestarian Kesejahteraan Warga dan Veteran ATM, Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC), Pembangunan Sains, Teknologi, dan Industri Pertahanan, dan Pengukuhan Kerjasama Antarabangsa.

“Kenam-enam teras ini akan dilaksanakan berdasarkan beberapa prinsip rentas-isu, iaitu perubahan berdasarkan impak / misi, penekanan kepada integriti dan “good governance”, menjadi pemangkin untuk perubahan dan inovasi, penggunaan kaedah berdasarkan data, dan mengamalkan pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat,” jelas beliau.