Malaysia Dateline

Apa berlaku ketika Dewan Rakyat tangguh 10 minit kelmarin

Kelmarin, di Parlimen sebelum sesi pengundian dibuat, Speaker telah tinggalkan Dewan dan tergantung selama 10 minit. Kenapa ini berlaku?

Sebelum Speaker umum penangguhan 10 minit, beberapa MP Umno telah bertindak keluar dewan. Antaranya MP Pontian, Mat Maslan.

Ketika melangkah keluar dewan Mat Maslan siap berkata “Saya mahu pilihanraya”, membayangkan beliau tidak mahu mengundi sokong RUU Perbekalan semalam dan memberi signal jumlah MP blok kerajaan tidak cukup.

Turut ikut keluar beberapa MP dari sebelah blok Zahid. Kemudian secara mengejut Speaker umum tangguhkan selama 10 minit.

Maka ketika itu kelihatan Menteri Undang-Undang, Takiyuddin membuat beberapa panggilan telefon untuk memanggil semula MP yang telah bertindak keluar dewan. Takiyuddin juga dilihat tidak tenteram meronda di blok tempat duduk ahli kerajaan.

Di ruang tempat duduk pegawai, ada beberapa wakil kerajaan turut hadir dan agak gelisah keluar masuk membuat kiraan sama ada di sebelah kerajaan cukup atau tidak.

Sedikit berbeza, tidak ada satu wakil rakyat Umno, Pas dan GPS berkumpul bersama Pagoh (PM). PM dilihat kesunyian bersama Azmin.

Blok di sebelah KJ-Hisham jugak berkumpul bersama, mereka dilihat berinteraksi bersama sambil meninjau dan mengira jumlah MP di blok pembangkang. Dewan huru-hara.

Namun audio dewan dipadamkan sebab itu kalau tonton dari YouTube, penonton tak dapat dengar suasana di dalam.

10 minit berlalu.

Bentara Dewan dilihat melakukan tugas meminta MP duduk di tempat masing-masing. Dan setelah berjaya memujuk kembali beberapa ahli parlimen terutama dari Umno, Parlimen bersambung semula.

Speaker masuk kembali ke Dewan dan pengundian belah bagi berlangsung dengan jayanya.

Itulah cerita disebalik kejutan 10 minit Tuan Speaker. Tanpa ‘elaun’ 10 minit ini barangkali RUU perbekalan RM7 bilion sudah gagal dan kerajaan Muhyiddin jatuh.

Kita tunggu episod 10 minit seterusnya bersama bakal PM paling singkat negara Muhyiddin Yassin.