Apa berlaku seminggu lalu di Cameron Highlands?

Apa berlaku seminggu lalu di Cameron Highlands?

“BN ke PH yang menang esok?” tanya saya kepada tiga Orang Asli yang mengikuti ceramah Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad di Sungai Koyan, sehari sebelum lebih 30,000 penduduk di Parlimen Cameron Highlands membuang undi.

Seorang daripadanya menjawab dengan lidah yang fasih – “BN”. Dua lagi hanya tersengih seperti segan atau mungkin berasa buang masa untuk bersuara meskipun mereka semuanya memakai baju lambang PH.

Apapun, kumpulan Orang Asli antaranya dari Pos Betau itu ramainya terdiri daripada remaja yang tidak layak mengundi pun. Saya sendiri bertanyakan umur mereka.

Selesai solat Jumaat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Felda Gugusan Sungai Koyan, saya singgah mengisi perut yang berkeroncong di kedai makan di seberang masjid bertulisan semua jawi itu.

Selepas berbasa-basi tentang lauk-pauk yang masih banyak lagi ketika jam menghampiri jam 3 petang, saya mengulang soalan yang sama kepada pembantu kedai seorang wanita yang ramah berusia sekitar 30-an itu.

“BN lah, apa lagi,” jawabnya bersahaja juga semacam menyoal kembali saya sambil mengelap meja makan yang saya duduki.

Benarlah, kata orang, kerusi Dun Jelai adalah kubu kuat BN tambahan Menteri Besar Pahang juga datang dari kawasan didiami majoriti Melayu dan Orang Asli itu.

Sambil mendengarkan penjelasannya, berselang empat meja, saya baru menyedari kehadiran Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin sedang menjamah makanan bersama sekumpulan ahli parti tersebut.

Spontan sementara menantikan minuman tiba di meja, saya mengimbas kembali raut wajah dan ‘bahasa badan’ jemaah kariah masjid ketika Dr Mahathir seusai solat Jumaat berjalan keluar menuju ke arah kerumunan media.

Dari dalam masjid sehingga ke luar, petugas jentera parti dalam PH selain tentunya jurugambar dan wartawan yang mengerumuni Dr Mahathir.

Majoriti masyarakat setempat dengan berbaju Melayu dan berkain pelekat, saya lihat hanya memerhati kosong Dr Mahathir tanpa teruja untuk bersalam dengan pemimpin yang lantang bersuara menolak Israel itu.

Mereka termasuklah generasi berusia sekitar 30-an dan 40-an yang hanya melihat dari motosikal sambil mendudukkan anak di bakul motor atau menantikan anak yang lebih besar sudah cukup sedia duduk membonceng sebelum berlalu begitu sahaja.

Sebelum itu, mimbar Khutbah Jumaat pula mencanangkan peringatan tegas supaya tidak terperdaya dengan “janji-janji musuh Islam” dan pentingnya menyedari akan apa yang disebut sebagai “bahaya yang mengancam umat Islam hari ini.”

Pesan khatib lagi, “ia boleh menyebabkan kita kehilangan majoriti kuasa Islam dalam pemerintahan maka jatuhlah maruah agama dan bangsa kita.

Malam buang undi pula menyaksikan jentera BN ligat bertempik sorak mengutuk PH di atas Hilux dengan pembesar suara di tengah pekan Tanah Rata berdekatan Maybank. Sempat saya mendengarkan seketika isi ceramah seorang Pemuda Umno seputar slogan ‘Tiada Janji Tapi Lihat Bukti’

Serentak itu, saya diberitahu seorang ahli AMANAH di Sungai Koyan, pola ceramah oleh pemimpin PH termasuk AMANAH sendiri dalam usaha memujuk pengundi Melayu yang ramai kuat BN dan Pas itu masih berkisar serangan ke atas Najib Razak dan ‘lebih berani’ terhadap Abdul Hadi Awang.

Pagi hari mengundi 26 Januari, kelibat jentera BN terdiri daripada Melayu dan India dilihat begitu agresif. Jentera MIC masih ‘hidup’, detik hati saya. Kelompok yang berada lebih 50 meter dari pusat pengundian SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata pula memegang kain rentang BN.

Di perkarangan sekolah itu, kumpulan berbaju biru dengan di luarnya berbaju sejuk, dari semasa ke semasa menurunkan pengundi warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) dari kereta kemudian dibawa dengan kerusi roda memasuki sekolah itu.

Pada jam 8.40 pagi, dua kenderaan Hilux mengangkut keluar kumpulan pengundi Orang Asli dari Kampung Sungai Ubi yang telah membuang undi.

Sejurus kenderaan tersebut bergerak, seorang wanita jentera BN berteriak “Hidup BN!”. Kumpulan Orang Asli yang diurus jentera BN itu antara 6,964 pengundi komuniti berkenaan yang mewakili 23 peratus pengundi di P. 078.

Tengah hari itu, sepanjang perjalanan menuju ke pusat pengundian di SJK (T) Ringlet, saya dan jurugambar Malaysia Dateline, Wan Zahari Wan Salleh menyambung sembang larut malam sebelumnya tentang kemungkinan besar PH kecundang.

Tiba di sekolah vernakular itu, kami kebetulan terjumpa Morgan – seorang wartawan sebuah portal berita. “BN menang punya,” katanya ringkas memberi ‘jaminan’.

Dingin Cameron Highlands walaupun tidak seperti 30 tahun lalu terbukti kemudiannya menggigit PH. Calon BN, Ramli Mohd. Nor akhirnya diumum menang dengan majoriti lebih besar sekali gus menyaksikan ahli Pas tiada masalah untuk mengundi BN.

Esok paginya, dalam perjalanan menuju ke Hutan Simpan Mossy yang terletaknya Gunung Brinchang, Wan Zahari yang sedang memandu menarik perhatian saya kepada kain rentang raksasa bertulisan Tamil dan Cina di tepi jalan.

“Eh, minggu lepas Manogaran cakap jenteranya akan ganti dengan bahasa Melayu berada di atas,” spontan saya memberi reaksi.

Selepas 30 minit menempuh jalan rosak lagi sempit dan berbahaya, kami tiba di taman eko-rimba di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Pahang itu jam 8.15.

Ya, selepas menyaksikan bibit-bibit PH digigit kedinginan pengundi, kami mahu bertenang seketika menikmati kedinginan segar alam yang belum banyak diusik manusia.