Malaysia Dateline

Apa beza RUU355 semasa Pas jadi pembangkang dan kerajaan?

Apabila Timblan Presiden Pas menyatakan bahawa bukan mudah untuk membawa Rang Undang-Undang (RUU) 355 kerana perlu melalui Raja-Raja serta pelbagai halangan dan kekangan Perlembagaan menjadi satu persoalan kepada umum apakah ianya mudah semasa, menjadi pembangkang dan amat berbeza semasa menjadi sebuah kerajaan.

Malah semasa menjadi kerajaan, RUU 355 itu dikatakan menjadi urusan muamalat dan bukan lagi urusan akidah.

Demikian tanda tanya yang dilontarkan Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

“Alasan itulah yang dibawa dan dibahaskan berkali-kali sebelum ini setelah mereka menganggap RUU 355 sebagai akidah dan orang lain pula dikecam sebagai munafik, sedangkan tiada langsung rasa bersalah dengan pelbagai kecaman yang pernah dibuat sebelum ini.

“50,000 yang dikatankan hadir di Padang Merbok sehingga kelihatan sebagai ‘ lautan ungu’ merupakan satu kemuncak momentum perjuangan RUU 355 dan diraikan dengan penuh semangat kegembiraan seolah-olah matlamatnya telah menjadi realiti.

“Sudah pasti diyakini kerana turut hadir adalah Mufti Wilayah Persekutuan yang dilihat sebagai berilmu, sederhana dan zuhud serta tarikan pelakon veteran Mustafa Kamal yang juga memeriahkannya dan merupakan kemuncak momentum,” ujar beliau.

Malah katanya lagi, tidak harus dilupakan sebelum ini surah dan ayat-ayat orang munafik dibaca dan dikhatam berulang kali secara literal terjemahannya yang membawa maksud menolak RUU 355 adalah sebagai golongan munafik.

Tambahnya, harus difahami bahawa politik sememangnya termasuk dalam sendi atau juzuk agama, namun begitu politik bukan berada dalam juzuk aqidah kerana ia berada dalam juzuk muamalat.

Menurut Dr Zaidi lagi, walaupun benar RUU 355 merupakan urusan politik dan urusan agama, tetapi ia bukannya urusan mahu pun juzuk akidah dan tatkala ia dimasukkan sebagai juzuk akidah, maka ia dibaca dan dikhatam surah dan ayat-ayat munafik acap kali seolah-olah menghukum yang terkeluar agama sepertimana amaran yang dilontarkan suatu ketika ‘kalau Kak Wan mati pada masa itu, kami tanam di Jirat Cina’.