Malaysia Dateline

Apa dosa lukisan mural diconteng?

Saya tidak faham atas dasar apa lukisan mural yang memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan beberapa pemimpin negara diconteng?

Apakah salah lukisan mural itu dan apakah dosa lukisan mural itu? Inilah kerja-kerja manusia yang sakit mental atau sakit jiwa.

Tidak sampai sebulan mural hasil karya Muhammad Suhaimi Ali (Miey Ali) menghiasi dinding atau tembok bangunan di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, mural itu telah diconteng oleh tangan-tangan biadap.

Terlintas dalam fikiran saya bahawa peristiwa ini adalah bukti penting berkaitan dengan rakyat Malaysia, iaitu;
1. penghayatan seni tidak wujud dalam diri
2. tiada kesedaran sivik
3. mental sebahagian rakyat yang sedang sakit
4. buta seni.

Saya ingin mencadangkan supaya pesalah yang terlibat dalam kes ini perlu dijatuhkan hukuman melukis semula mural tersebut walaupun terpaksa memakan masa selama 20 tahun.

Kenapa 20 tahun, sebabnya pesalah itu terpaksa belajar melukis kemudian untuk menghasilkan lukisan yang cantik bukan boleh dilakukan dalam masa sehari dua tetapi bertahun-tahun.

Andai pesalah itu mati ketika melukis pun tidak mengapa kerana itu lebih baik. Dan seandainya, pesalah itu sudah pandai melukis mural maka pihak berwajib boleh minta mereka terus melukis pada dinding-dinding bangunan yang lain.

Lagi tinggi sesebuah bangunan itu, maka itu lebih baik. Seni adalah kedamaian.

*DR. SHAMSUDDIN OTHMAN ialah penyair dan pensyarah kanan di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM).