Apa Duta Khas Timur Tengah buat dalam kes terkandas ke Mekah, tanya MT Umno

Oleh ARIF ATAN

Peranan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah dipersoal susulan hampir 400 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali gus gagal berlepas ke Jeddah, Arab Saudi kelmarin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, dalam masa sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad sepatutnya turun padang menemui mereka yang terkandas itu.

“Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Dato Idris Ahmad hanya mengambil maklum isu hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di KLIA.

“Takkan setakat ambil maklum. Sepatutnya Idris lebih proaktif, turun padang jumpa mereka dan gunakan hubungan dua hala untuk selesaikan masalah mangsa terbabit.

Puad Zarkashi

“Bukankah Ustaz Hadi adalah wakil khas PM ke Timur Tengah bertaraf Menteri? Apa dia buat? Amat malang dalam tempoh empat hari terkandas, Menteri tidak tunjuk muka.

“Menteri macam tidak prihatin dan tidak ada idea bagaimana mahu selesai masalah. Idris juga gagal melobi kuota haji tambahan. Tahun hadapan berilah mangsa mangsa ini keutamaan,” kata Puad.

Kelmarin, jemaah haji yang terkandas di KLIA itu dilapor berdaftar dengan sebuah syarikat agensi pelancongan swasta bagi visa furada.

Mangsa terbabit turut memberitahu pasport mereka masih lagi dipegang oleh syarikat agensi pelancongan terbabit.

Baca juga Pendapatan rasmi Abdul Hadi tidak kurang RM764,000 setahun