Malaysia Dateline

Apa erti Merdeka kalau ahli politik tak merdekakan diri dari rasuah

Ahli politik perlu merdekakan diri sendiri dari sebarang budaya rasuah, salah guna kuasa dan tipu muslihat jahat bagi mencapai tujuan politik, kata Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak, Syazmir Hariz Noorazalan.

Menurutnya, kemerdekaan bagi sebuah negara bukan hanya bebas dari sang penjajah, namun lebih utama adalah roh negara yang bebas dari cengkaman budaya yang merosakkan.

“Ahli politik itu sendiri adalah lambang kepimpinan negara. Oleh itu, ahli politik haruslah mereka yang mampu memerdekakan rakyatnya dari kejahilan, kemungkaran dan kemiskinan.

“Budaya hari ini telah membuktikan bahawa politik adalah sebuah alat mempengaruhi rakyat,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Justeru itu katanya, jika pemimpin politik tidak membebaskan diri dari menggunakan wang dan kuasa sebagai alat memancing sokongan rakyat, akhirnya rakyat aman terus dibelenggu dengan kecanduan wang dan kuasa.