Apa guna kenakan hukuman denda RM1,000 sedangkan RM100,000 pun mampu dibayar?

Oleh ARIF ATAN

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempertikai arahan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin supaya Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, penyandang Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dan Presiden MIC, S Vigneswaran dikenakan denda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ahli Parlimen Bagan berkenaan menegaskan arahan kompaun terhadap tiga pemimpin BN yang hadir ke pelancaran Briged MIC di Johor Bahru itu menjadikan usaha kerajaan untuk memerangi gelombang baharu varian Omicron Covid-19 sebagai satu bahan ketawa.

Sehubungan itu, beliau berpendapat lebih baik Khairy meletakkan jawatan jika tidak dapat meyakinkan rakan-rakan Kabinetnya sendiri untuk mematuhi SOP Covid-19 yang telah dipersetujui oleh Kabinet.

“Khairy harus mengelak persepsi amalan dua darjat apabila BN atau PN dibenarkan mengadakan acara seperti itu yang melanggar pematuhan SOP tanpa diganggu berbanding parti pembangkang atau program komersial atau swasta yang lain,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan tiga pemimpin BN yang hadir ke pelancaran Briged MIC di Johor Bahru, dikompaun kerana melanggar SOP.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, melalui Twitternya memaklumkan, beliau mengarahkan pegawai KKM Putrajaya mengeluarkan kompaun itu terhadap Vigneswaran, Hishammuddin dan Datuk Seri Hasni Mohammad.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, SOP harus dikaji semula untuk memastikan keadilan untuk semua.

“Tidak ada kepimpinan melalui teladan kerana Hishamuddin sendiri adalah pengerusi Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 yang diamanahkan untuk menggesa pematuhan orang ramai dalam mengurus dan mengumumkan SOP Covid-19,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri untuk campur tangan dan menuntut Hishamuddin dan Hasni meletakkan jawatan dalam kerajaan.

Beliau menyifatkan gesaan itu kerana kedua-dua pemimpin itu mempamerkan keangkuhan, penghinaan terbuka terhadap undang-undang dan pelanggaran disiplin Kabinet yang melanggar asas utama kepada tadbir urus dan pentadbiran yang baik.

“Apabila penggubal undang-undang dengan sengaja dan secara sedar menjadi pelanggar undang-undang, Menteri dan Menteri Besar tidak lagi layak untuk mentadbir.

“Apa guna Khairy mengenakan hukuman denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) kepada Hishamuddin atau Hasni sedangkan ia adalah jumlah yang kecil kepada mereka yang mampu membayar denda waima RM100,000 dengan mudah,” katanya.

Sebelum ini, DAP mendesak supaya Hishammuddin meletak jawatan selepas dikenakan kompaun oleh KKM kerana melanggar SOP Covid-19 dalam Majlis Pelancaran Briged MIC di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri.

Guan Eng selanjutnya mempersoal kewajaran meningkatkan denda kepada RM10,000 tidak bermakna bagi individu yang tidak mempunyai rasa akauntabiliti awam dan tanggungjawab peribadi.

Jelasnya, individu terbabit merasakan mereka lebih tinggi daripada undang-undang dan semuanya boleh diselesaikan dengan wang.

“Penalti sedemikian adalah kosmetik dengan denda sekadar sandiwara atau drama palsu untuk meredakan kemarahan orang ramai.

“Denda tidak mencukupi, penggubal undang-undang ini perlu meletakkan jawatan kerana sengaja dan dengan sedar menjadi pelanggar undang-undang.

“Adakah penganjur serta setiap peserta dalam perhimpunan MIC itu juga akan didenda?” soal Guan Eng lagi.