Malaysia Dateline

Apa guna Mahiaddin berbangga dengan 40 tahun pengalaman tapi penakut?

Keabsahan Perdana Menteri dan kuasanya dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong nampaknya terus menjadi pertikaian ramai menjelang sidang Parlimen yang bakal diadakan setelah dititahkan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-​Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu.

Begitu pun, bila tarikh sidang Parlimen itu bakal diadakan belum lagi diketahui kerana kerajaan dilihat terus mahu melengah-lengahkanya lagi.

Dalam kenyataan bersama Speaker Parlimen dan Speaker Dewan Negara baru-baru ini, mereka menyebut kebarangkalian sidang Parlimen boleh diadakan ialah sama ada akhir Ogos atau awal September.

Sebelum itu, Mahiaddin Md Yasin mengatakan sidang Parlimen mungkin diadakan pada September atau Oktober.

Maksud tersirat titah Agong dan Raja-Raja bahawa sidang Parlimen sebenarnya perlu diadakan sebelum tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos cuba untuk buat-buat tidak difahami oleh kerajaan seolah-olah ayat dalam kenyataan media Istana Negara yang antaranya menyebut ia diperlukan untuk membincangkan Ordinan Darurat tidak bermakna apa-apa.

Jika akhir Ogos, awal September atau Oktober baru mahu mengadakan sidang Parlimen, di mana ketika itu darurat sudah pun berakhir, apa guna lagi untuk membincangkan Ordinan Darurat?

Susahkah Mahiaddin dan Speaker Parlimen mahu memahaminya?

Barangkali tindakan Istana Negara memanggil menghadap Speaker Parlimen dan Speaker Dewan Negara pada lusa (Selasa ini) ada kaitan dengan perkara tersebut.

Dalam pertikaian tentang keabsahan kedudukan Mahiaddin dan kuasanya dalam menasihati Agong berkenaan tarikh sidang Parlimen yang berlarutan itu, cubaan Peguam Negara untuk membela Perdana Menteri hanya tambah mengeruhkan lagi keadaan.

Daripada satu sudut, sebagaimana disebut Anwar Ibrahim semalam, kenyataan Peguam Negara itu selain melampau, ia juga menghina Istana Negara.

Dalam hal ini, agak pelik apakah Peguam Negara tidak boleh membezakan antara kuasa Perdana Menteri dalam keadaan biasa dengan ketika darurat seperti ketika ini?

Seterusnya, Anwar juga mendakwa, ada usaha yang sistematik digerakkan bagi menggunakan Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Speaker Parlimen untuk melengahkan Sidang Parlimen sebagaimana yang telah dititahkan Agong itu.

Sebagai makluman, Peguam Negara, Idrus Harun dan Speaker Parlimen, Azhar Azizan Harun adalah adik-beradik.

Sebenarnya kekalutan serta polemik berterusan tentang keabsahan dan kuasa Perdana Menteri ini adalah kelemahan mutlak Mahiaddin sendiri dalam menanganinya.

Atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri, setelah dilantik mengetuai kerajaan oleh Agong, apabila kedudukannya dipertikai dan diragui, Mahiaddin seharusnya sedar tanggungjawab moralnya ialah membersihkan tanggapan tersebut.

Caranya tidak lain ialah dengan membenarkan usul undi percaya atau tidak percaya dibentangkan terhadapnya di Parlimen.

Jika perkara itu dilakukan lebih awal, pastilah pertikaian mengenai kedudukannya tidak terus berlarutan sehingga perlu mengheret Agong untuk turut campurtangan.

Dalam hal ini, apabila Agong campurtangan, walaupun ia merupakan tanda keprihatinan baginda terhadap masalah yang berlaku dalam negara, hakikat lain ia juga memperlihatkan Mahiaddin turut sama menghina baginda.

Agong sebagai ketua negara tidak terlibat dalam politik, tidak campur tangan dalam politik dan tiada keperluan campurtangan dalam hal ehwal politik.

Malangnya kerana Perdana Menteri tiada kekuatan moral untuk mengesahkan kedudukannya, maka bukan saja politik jadi caca-marba yang berpanjangan, bahkan memaksa Agong untuk campurtangan.

Dalam perbualan dengan beberapa orang yang bertemunya, Mahiaddin dilaporkan selalu berbangga mengenai tempoh 40 tahun yang sudah dilaluinya sebagai Ahli Parlimen dan kononnya beliau tahu apa yang harus dilakukannya untuk menangani kemelut yang berlaku sekarang.

Soalnya, apakah menangguh-nangguhkan sidang Parlimen, menghalang usul undi percaya atau tidak percaya dan seterusnya mencadangkan darurat bagi tujuan menggantung Parlimen adalah wajah perlakuan seseorang yang ada pengalaman selama 40 tahun?

Banyak pengalaman sepatutnya menerbitkan keberanian, bukan menyerlahkan jiwa penakut dan tiada kekuatan.

Tidak malukah Mahiaddin berbangga dengan pengalamannya selama 40 tahun itu, tetapi semua rakyat mentertawakan jiwa penakutnya seolah-olah hanya seperti seorang Ahli Parlimen belia yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Parlimen?