Malaysia Dateline

Apa guna mesyuarat Kabinet setiap minggu jika tidak berani

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata bahawa beliau akan menyampaikan laporan mengenai insiden perlanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada 24 Mei pada mesyuarat kabinet hari ini.

Wee berkata beliau berpuas hati dengan laporan yang disiapkan oleh sembilan anggota jawatankuasa siasatan, yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Isham Ishak.

Beliau berkata: “Ia dibuat secara profesional, menyeluruh dengan perinciannya serta diselesaikan dalam tempoh 14 hari yang diberikan

Persoalan yang lebih penting ialah sama ada laporan dan cadangannya itu akan didedahkan kepada umum selepas mesyuarat Kabinet.

Apa gunanya ada mesyuarat Kabinet setiap minggu jika ia tidak membawa kepada kemahuan politik atau keberanian untuk mengambil keputusan penting untuk memastikan terdapat tadbir urus yang baik dan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang? Sebagai contoh; dengan mendedahkan laporan berhubung insiden pelanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di laluan bawah tanah antara stesen KLCC dan Kg Baru pada 24 Mei 2021, yang mengakibatkan 166 penumpang cedera ringan dan 47 yang lain memerlukan rawatan di hospital?

Kabinet dilihat tidak berfungsi dan tidak memainkan peranannya sejak darurat diisytiharkan lima bulan lalu.

Sekiranya Kabinet masih memainkan peranan penting di Malaysia, maka ia mesti berani menangani sekurang-kurangnya sepuluh masalah penting di bawah:

1. Membentangkan laporan mengenai insiden pelanggaran transit aliran ringan (LRT) pada 24 Mei 2021 kepada pihak awam;

2. Jelaskan mengapa Malaysia menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk dalam menangani pandemik Covid-19 sehinggakan kerajaan Jepun meminta Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik mempertimbangkan untuk menghalang penyertaan Malaysia dalam kejohanan dunia tersebut ekoran lonjakan kes Covid-19 di negara ini.

3. Mengulangi komitmen terhadap usaha menangani pandemik Covid-19 dan mempercepat program imunisasi Covid-19 kebangsaan untuk mencapai imuniti kelompok di Malaysia serta menolak pendirian Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang ingin melancarkan operasi serbuan dan penangkapan ke atas migran tanpa dokumen yang akan mendorong mereka untuk bersembunyi dan enggan bekerjasama dalam program imunisasi Covid-19 kebangsaan.

4. Mengumumkan pengampunan bagi semua pendatang tanpa dokumen bagi mendapatkan kepercayaan dan keyakinan mereka untuk bekerjasama dalam program imunisasi Covid-19 kebangsaan supaya imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin.

5. Mengakhiri pengumuman SOP Covid-19 yang bersifat kucar-kacir dan mengelirukan, serta amalan layanan berbeza kerajaan, selain menghentikan pertelingkahan antara menteri sama ada antara Ismail dan Azmin atau Hamzah dan Khairy yang akan terus melunturkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan menangani wabak Covid-19.

6. Mengumumkan jangka masa bagi setiap negeri untuk mencapai imuniti kelompok terhadap Covid-19 dan mempercepat serta menyelesaikan program imunisasi Covid-19 kebangsaan menjelang Hari Malaysia pada 16 September 2021.

7. Mengarahkan Menteri Dalam Negeri untuk mengadakan siasatan awam mengenai setiap kematian dalam tahanan sama ada dalam tahanan polis atau penjara, terutamanya kes pemandu lori Umar Faruq Abdullah @ Hermananthan, pengawal keselamatan S. Sivabalan, A. Ganapathy dan Surendran Shanker yang meninggal dunia setelah ditahan di penjara Simpang Renggam.

8. Menerima baik gesaan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Wartawan Nasional (NUJM) yang bimbang dengan penggunaan taktik gangguan yang sering dilakukan oleh kerajaan terhadap media.

9. Akhiri darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari 2021 untuk memerangi pandemik Covid-19, kerana darurat bukanlah penyelesaian untuk wabak Covid-19 tetapi faktor yang memburukkan lagi defisit kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap cara kerajaan menangani wabak Covid-19.

10. Memanggil sidang Parlimen dengan kadar segera untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap cara kerajaan menangani perang melawan pandemik Covid-19 dan kedua, untuk menggerakkan usaha mobilisasi kebangsaan dengan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan masyarakat” dalam memerangi Covid-19 selain mempercepat program imunisasi Covid-19 kebangsaan.

Berapa banyak daripada 10 perkara ini yang berani dilakukan oleh Kabinet hari ini?
—————-
Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 9 Jun 2021.