Malaysia Dateline

Apa hak Pas pertikai MP Asean, tanya Srikandi PKR

Ketua Srikandi PKR Terengganu mempertikaikan hak Pas untuk mempersoalkan keputusan 80 ahli Parlimen Asean yang mendesak agar Parlimen Malaysia bersidang.

Ketua Srikandi PKR Terengganu, Yuslaini Azmi, berkata, beliau sangat hairan apabila Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad mempertikaikan suara MP negara Asean yang mendesak supaya Parlimen Malaysia bersidang.

Menurut Kamaruzaman, suara mereka tidak mewakili kerajaan masing-masing.

“Persoalannya siapa Pas untuk mempertikaikan desakan pemimpin negara luar?” tanya Yuslaini.

Katanya, Pas mungkin lupa kerajaan Malaysia juga mendesak hal yang sama apabila tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa jadi apabila ada desakan pemimpin negara-negara luar ini bermakna ketidakadilan sedang berlaku dalam sistem politik negara ini.

“Kita mempersoalkan tentera Myanmar yang merampas kerajaan daripada Aung San Suu Kyi namun apabila negara lain mempersoalkan negara kita yang tidak membenarkan Parlimen bersidang tiba-tiba kita menyatakan mereka tiada hak pula.

“Alangkah lucunya kenyataan daripada Pemuda Pas ini,” kata beliau dalam kenyataan beliau hari ini.

Kamaruzaman dalam kenyataannya menyatakan pelaksanaan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang Di Petua Agong Seri Paduka Baginda menepati garis panduan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta menyelar tindakan MP kerajaan dan pembangkang negara Asean tersebut.

“Mungkin Kamaruzaman lupa menyebut satu fakta, panduan PBB membenarkan darurat kesihatan tetapi tiada satu negara di dalam dunia ini bertindak menggantung sidang Parlimen.

“Isunya bukan soal darurat, isunya kenapa Parlimen tidak bersidang seperti negara lain walaupun mereka juga mengumumkan darurat?” tanya beliau.

Bagi Yuslaini, kenyataan Ketua Penerangan Pas ini dilihat tidak begitu cerdik dan cuba mengelirukan orang ramai.

Malah, katanya, tindakan mempersoalkan status negara Timor Leste sebagai anggota negara Asean juga dilihat tidak wajar dan tidak professional kerana ia hanya akan mengeruhkan hubungan dasar luar Malaysia dengan negara tersebut.

“Tiada siapa antara kami mempersoalkan darurat, kami persoalkan penggantungan sidang Parlimen yang merencatkan sistem demokrasi negara.

“Timbalan Speaker, Datuk Azalina Othman Said juga hairan dengan penggantungan Parlimen ini. Bukan sahaja pembangkang, malah di kalangan MP kerajaan hari ini juga turut mempersoalkan perkara yang sama,” katanya.

Dalam kenyataan MP Asean tersebut, mereka menzahirkan pentingnya fungsi Parlimen supaya tiada salah guna kuasa, dan cubaan merampas institusi demokrasi.

Keadaan ini sekaligus menggambarkan negara ini menuju kepada sistem negara autoritarian, dakwa beliau.