Malaysia Dateline

‘Apa hal lori boleh pulak di lorong paling kanan ni?’

Sikap seorang pemandu lori menggunakan lorong kanan dengan kelajuan melulu hingga sodok belakang kereta mendapat kecaman orang ramai.

Mengikut undang-undang, pemandu kenderaan berat tidak boleh secara berterusan menggunakan lorong paling kanan di mana-mana lebuh raya kecuali hanya untuk memotong.

Namun, satu rakaman papan pemuka (dashboard) menunjukkan bagaimana sebuah Myvi dilanggar dalam insiden petang kelmarin.

Lori yang berada di lorong paling kanan itu dilihat jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

Dalam masa sama, sikap segelintir pemandu kenderaan berat yang degil memandu di lorong kanan juga membimbangkan orang ramai.

Lantaran itu, ramai yang menyatakan mereka sendiri terpaksa mengalah dengan ‘pilot’ darat yang seolah-olah ‘king’ di jalan raya.

“Tak patut berlakunya kemalangan ni melainkan pemandu main phone atau mesti ‘main’ barang ni.

“Kedudukan dah tinggi dan jarak brek pun dah kira jauh. Patut dari awal lagi dah perasan.

“Ini dah dekat sangat baru nak brek memang tak sempatlah,” komen seorang warganet.

Dalam masa sama, ada yang menggesa agar pihak berkuasa menggiatkan ujian saringan air kencing kepada pemandu lori secara berkala dan mengejut.

Usaha dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu perlu dilakukan di pelbagai lokasi termasuk di pejabat-pejabat syarikat pengangkutan dan logistik.

“Pilot darat (bukan semua) sekarang ni makin menjadi-jadi ya. Laju dia tu tak sedar diri.

“Ramai dah mati sebab mereka. Patut boleh dah buat ujian urin sorang-sorang,” kata seorang netizen.