Malaysia Dateline

Apa iktibar dari tragedi iklim terbesar pernah disaksikan dunia abad ini?

Bencana alam banjir yang melanda Pakistan adalah antara tragedi iklim terbesar yang pernah disaksikan dunia abad ini, tegas Menteri Perubahan Iklim negara itu, Sherry Rehman.

Banjir yang tidak pernah berlaku sebelum ini menenggelamkan kawasan yang luas di negara Asia Selatan itu dan mengakibatkan lebih 1,700 orang terbunuh dengan ratusan daripadanya golongan kanak-kanak.

Banjir yang dibawa hujan monsun sejak Jun lalu serta pencairan glasier di pergunungan utara itu menjejaskan lebih 33 juta daripada 220 juta penduduk.

“Misi menyelamat sudah dihentikan tetapi operasi bantuan adalah paling lama pernah dilihat oleh mana-mana negara,” kata menteri berkenaan.

Dianggarkan 20.6 juta orang masih memerlukan bantuan manakala Reuters melaporkan lebih 3,000 kilometer jalan raya, 130 jambatan dan 495,000 rumah telah rosak teruk.

Menurut Sherry, tragedi dahsyat itu mengakibatkan nilai kerosakan lebih US$40 bilion (RM187 bilion) seperti dianggarkan oleh Bank Dunia.

Dibimbangi, jelasnya, jumlah kerugian dan kerosakan sebenar adalah lebih tinggi daripada anggaran serta meningkat mengikut peredaran masa.

Jelasnya, ‘air termenung’ yang membanjiri 11 daerah di selatan Sindh dan wilayah Balochistan menjadikan misi bantuan kemanusiaan sebagai suatu cabaran besar.

Lebih 4 juta hektar tanaman rosak dan ditenggelami air hingga mengakibatkan 14.6 juta orang berdepan krisis makanan dan pertanian, kata menteri itu.

Reuters sebelum ini melaporkan Pakistan menerima 391 milimeter hujan atau hampir 190 peratus lebih daripada purata 30 tahun, pada bulan Julai dan Ogos.

Baca juga Hampir separuh dewasa Putrajaya gemuk – Kerap berjalan, berlari di tiga dari 11 taman indah ini elak digelar ‘obes-city’

Baca juga Pasangan ni sambut ‘anniversary’ bermodalkan pasir pantai je