Malaysia Dateline

Apa jadi dengan siasatan bangunan MARA pada 2017?

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan perkembangan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal pembelian hartanah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Australia yang dikatakan sudah hampir selesai sejak 2017 lalu.

Lim bertanya, adakah ketika ini SPRM pula mempunyai skandal berhubung projek rasuah bangunan Mara tersebut.

“Adakah SPRM sedar bahawa identiti tokoh politik Malaysia yang disebut oleh portal media Australia Sydney Morning Herald, The Age dan The Sun, terlibat dalam skandal rasuah MARA bernilai RM70 juta membabitkan transaksi hartanah Australia?

“Sekiranya ya, mengapa SPRM tidak mengambil tindakan terhadap tokoh politik Malaysia yang paling berpengaruh itu?

“Jika tidak, mengapa SPRM tidak meminta maklumat daripada rakan sejawatnya yang berada dalam barisan Polis Persekutuan Australia yang menyiasat kes tersebut?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Terdahulu pada 2017, kerajaan Barisan Nasional (BN) memaklumkan bahawa kertas siasatan berhubung skandal bangunan Mara di Australia sedang berada dalam peringkat akhir siasatan pihak SPRM.

Skandal tersebut berkaitan dengan urus niaga pembelian bangunan 12 tingkat Unilodge di Melbourne, melibatkan “syarikat lahu” (syarikat tanpa operasi atau shell company) di British Virgin Islands (BVI).

Unilodge ‘dijual’ kepada Mara Inc pada harga A$41.8 juta (kira-kira RM138 juta) walaupun harga pasarannya A$23.5 juta (kira-kira RM77.6 juta).

Dengan itu, Mara dilaporkan mengalami kerugian kira-kira RM60 juta.

Dilaporkan juga, kertas siasatan hampir lengkap di mana pada November 2017, SPRM memaklumkan sedang menunggu laporan urus niaga daripada pihak berkuasa Australia.

“Adakah sekarang kita mengalami skandal SPRM berhubung rasuah bangunan MARA yang membabitkan urus niaga harta tanah Australia?

“Apa yang berlaku dengan siasatan SPRM yang hampir selesai sejak tahun 2017?,” soal Lim lagi.