Malaysia Dateline

Apa jadi projek buat baja dan makanan haiwan ternakan, soal MP DAP

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mempersoal status projek pembinaan kompleks bersepadu fosfat di Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak.

Beliau menegaskan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) gagal dalam menguruskan isu industri ayam sehingga mengakibatkan harga bahan makanan itu melambung.

Sehubungan itu, bagi jangka masa pendek, kerajaan harus segera memudahcara serta mempercepatkan penyaluran subsidi kepada sektor industri ayam.

Kerajaan, jelasnya, perlu melaksanakan cadangan DAP untuk mewujudkan Dana Penstabilan Harga Barang sebanyak RM5 bilion bagi berdepan kenaikan harga barang secara amnya yang kini mencecah sehingga 60 peratus.

“Pelbagai kajian dan rancangan telah dijalankan sebelum ini termasuklah pembinaan sebuah kilang phosphate yang besar di Samalaju, Sarawak iaitu Malaysia Phosphate Additives (MPA) Sarawak yang melibatkan pelaburan Khazanah Nasional.

“Kilang ini sepatutnya dirancang untuk membekalkan baja dan makanan haiwan ternakan bagi sektor pertanian dan penternakan negara.

“Namun, apa yang berlaku dengan projek dan rancangan ini?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Steven berkata, bagi jangka masa yang lebih lama, isu sekuriti makanan negara harus diberi perhatian serius.

“Pengalaman pandemik selama dua tahun harus dijadikan pengajaran untuk memperkukuhkan kedayatahanan negara dalam aspek sekuriti makanan terutama berdepan faktor-faktor global yang tidak menentu,” katanya.

Untuk rekod, MPA Sarawak telah ditubuhkan sebagai sebuah syarikat usaha sama antara Samalaju Industries Sdn Bhd (SISB), Malaysian Phosphate Venture Sdn Bhd dan Arif Enigma Sdn Bhd, untuk membina kompleks bersepadu fosfat itu.

Pembinaan itu dilapor pada 2019 masih berjalan dan fasa pertama yang terdiri daripada tiga loji bersepadu disasarkan siap menjelang penghujung 2020.

Mengulas lanjut, Steven berkata, kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini bahawa tidak sampai 10 peratus subsidi yang telah dijanjikan telah dibayar bukti kegagalan kerajaan dalam menguruskan isu industri ayam.

Sehubungan itu, tegasnya, tidak hairanlah pengusaha tempatan terus-menerus mengadu bahawa penetapan harga siling yang tidak berpatutan berbanding kos mereka telah mengakibatkan mereka mengalami kerugian besar.

“Malah, kenyataan MAFI telah mengesahkan pendedahan oleh salah seorang pengusaha ternakan ayam tempatan baru-baru ini bahawa kerajaan gagal menghulurkan subsidi yang telah dijanjikan.

“Kegagalan kerajaan menunaikan janji subsidi ayam telah menyebabkan harga ayam tetap mahal walaupun ada harga siling dan bekalan ayam berkurangan sehingga 50% di pasaran.

“Akhirnya pengusaha tempatan dan pengguna menjadi mangsa kegagalan kerajaan,” tambah Steven lagi.

Baca Harga ayam naik lagi, refleksi kedaulatan makanan

Baca Pembantu kedai didenda RM2,500 sebab buang patung hiasan