Malaysia Dateline

Apa jaminan anak cucu kita tidak tersadai mengharap belas di tengah lautan?

Sejak beberapa minggu lalu, hangat diperbincangkan oleh rakyat Malaysia mengenai pelarian Rohingya, susulan pengusiran bot pelarian Rohingya daripada perairan Malaysia oleh Tentera Udara Diraja Malaysia 16 April lalu.

Apabila berbincang tentang isu Rohingya, terdapat beberapa realiti yang kita perlu terima.

1. Myanmar tidak selamat untuk warga Rohingya

Myanmar telah melakukan penghapusan etnik, pembunuhan beramai-ramai sehingga merogol wanita serta membakar rumah dan tanaman.

Seteruk mana?

Terdapat laporan yang menceritakan bagaimana wanita dirogol dengan diikat pada rambutnya atau tangan mereka diikat pada pokok. Sehingga wanita-wanita bogel dilihat berlari ke hutan-hutan dalam ketakutan. Mayat-mayat wanita juga dijumpai dengan darah yang cukup banyak di celah kelengkang mereka.

Ada laporan yang mengatakan bahawa rumah-rumah mereka dibakar, dan anak-anak yang hendak lari keluar akan dihalau untuk masuk kembali ke dalam rumah yang sedang dijilat api tersebut.

Tentera Myanmar telah meletakkan periuk-periuk api di perjalanan untuk orang-orang kampung lari daripada rumah-rumah mereka yang dibakar dan tentera yang menyerang. Supaya apabila mereka lari daripada api yang menjilat rumah mereka dan tentera yang menyerang mereka, tubuh mereka berkecai akibat terpijak periuk api tersebut.

Disebabkan keganasan beginilah, mereka melarikan diri ke Bangladesh. Walaupun mereka terpaksa berjalan kaki berhari-hari sambil mendukung anak dan barang keperluan, merentas paya-paya dan sawah-sawah padi yang berlumpur. Perjalanan mereka juga amat bahaya, ramai yang ditembak di lutut ketika dalam perjalanan hendak lari ke Bangladesh, dan ramai yang pengsan akibat kebuluran dan kepenatan.

Mengapa mereka tidak kekal di Arakan dan pertahankan hak mereka? Mengapa mereka tidak berjuang dan melawan?

Kerana mereka telah ditinggalkan tanpa harapan. Tanpa bantuan senjata, tanpa kesatuan politik, tanpa pendidikan untuk menunjukkan jalan, dan mereka tidak mempunyai peluang pun kalau mereka melawan.

Walaupun Myanmar telahpun menyatakan kesediaan untuk menerima kembali orang-orang Rohingya, pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) belum membenarkan orang Rohingya pulang kerana situasi di Arakan masih tidak selamat untuk orang Rohingya.

Kegiatan Myanmar menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan, wartawan, dan pelapor khas PBB menyebabkan mereka dikatakan menyembunyikan segala kekejaman yang telah mereka lakukan.

Maka, tuntutan untuk mereka bertahan ialah tuntutan yang tidak berperikemanusiaan dan tuntutan untuk memulangkan Rohingya ke Myanmar ialah tuntutan yang zalim.

2. Bangladesh telah menerima lebih 1 juta pelarian

Sejak 2017 lagi, Bangladesh telahpun mengatakan pelarian mereka terlalu ramai untuk mereka uruskan.

Sebelum wabak COVID-19 dan sebelum krisis pelarian Rohingya ini meningkat pun, kemampuan perkhidmatan kesihatan di Bangladesh memang lemah. Pada tahun 2015, Bangladesh mempunyai 0.8 katil hospital per 1000 penduduk, berbanding dengan Malaysia yang mempunyai 1.9 katil hospital per 1000 penduduk.

Menurut Index Keselamatan Kesihatan Global 2019, Bangladesh terletak di tangga ke 113 daripada 195 buah negara, dengan skor 35.0, berbanding dengan Malaysia di tangga ke 18 dengan skor 62.2. Index ini penting untuk kita mengukur tahap kesediaan sesebuah negara untuk menghadapi wabak seperti COVID-19 sekarang.

Hal ini menunjukkan, kesediaan Bangladesh menghadapi COVID-19 amatlah rendah jika hendak dibandingkan dengan Malaysia. Sebab itu, kem pelarian Rohingya di Bangladesh mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk menghadapi menjadi pusat perebakan COVID-19.

Selain itu, faktor lain yang meningkatkan risiko ialah akses kepada produk kebersihan diri yang terhad, akses kepada perkhidmatan yang terhad, kepadatan kem yang sangat tinggi menyebabkan penjarakan sosial menjadi mustahil, serta kesedaran yang amat rendah mengenai COVID-19.

Jika dilihat daripada aspek ekonomi pula, Keluaran Dalam Negara Kasar per populasi penduduk pada tahun 2017 Bangladesh ialah $4,200 di tangga ke 177, berbanding dengan Malaysia $29,000 di tangga ke 71.

Hal ini menunjukkan, daripada sudut ekonomi pun, Bangladesh tidak mampu menampung kebanjiran pelarian Rohingya.

Seperti Malaysia, Bangladesh juga tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951.

3. Usaha yang dilakukan oleh negara-negara dunia

Piagam Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) mengatakan bahawa salah satu tujuan kewujudan ASEAN ialah “untuk menggalakkan dan mempertahankan hak asasi manusia”.

Namun, walaupun berkali-kali sidang kemuncak ASEAN dijalankan, kerana perwakilan Myanmar tidak bersetuju untuk berbincang berkenaan isu pelarian Rohingya, sidang kemuncak ASEAN tidak pernah membincangkan apa-apa solusi berkenaan Rohingya. Bahkan, perkataan “Rohingya” pun tidak disebut kerana perkataan tersebut tidak diiktiraf oleh Myanmar.

Dalam sidang kemuncak ASEAN yang terbaru pada tahun 2019, keputusannya masih sama. “…kami memberikan sokongan berterusan kepada komitmen Myanmar dalam memastikan keselamatan untuk semua komuniti di Rakhine…”. Tidak ada menyebut tentang menghukum pesalah jenayah perang, tidak ada sebut tentang bantuan kemanusiaan yang disekat daripada sampai ke Rakhine.

Antara tindakan terbesar negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ialah membantu mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Ia merupakan resolusi daripada Persidangan Tahunan OIC di Bangladesh pada tahun 2018. Pada hujung tahun 2019, OIC yang diwakili oleh Gambia telah mambawa Myanmar ke mahkamah.

Hasilnya, ICJ secara sebulat suara membuat keputusan untuk meminta Myanmar mengambil semua tindakan yang termampu untuk menghalang pembunuhan Rohingya, atau menyebabkan kecederaan tubuh badan atau kecederaan mental kepada mereka, termasuklah oleh tentera mahupun mana-mana puak bersenjata lain.

Namun, ICJ tidak boleh memaksa Myanmar untuk menghentikan keganasan terhadap Rohingya.

Gambia memohon bantuan daripada Majlis Keselamatan PBB untuk memastikan Myanmar melaksanakan perintah ICJ. Namun, mengikut rekod, China sentiasa akan menggunakan kuasa veto untuk menghalang apa-apa resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengancam kepentingan Myanmar.

Negara-negara serantau yang lain juga ada menerima pelarian Rohingya. Selain daripada Bangladesh yang mempunyai sekitar 1.6 juta pelarian dan Malaysia yang mempunyai sekitar 200,000 pelarian, Arab Saudi juga menampung sekitar 470,000 pelarian, dan Pakistan menampung sekitar 450,000 pelarian.

Negara-negara lain seperti United Arab Emirates dan India masing-masing menampung sekitar 50,000 pelarian, Indonesia menampung sekitar 1,200 pelarian, dan Thailand menampung sebanyak 5,000 pelarian.

Jadi, sebenarnya yang menerima pelarian Rohingya ini bukanlah Malaysia dan Bangladesh sahaja.

Maka, apa solusi yang kita ada untuk krisis pelarian ini?

Tentunya, solusi yang paling ideal ialah menghentikan kekejaman terhadap etnik Rohingya di Arakan, serta mengiktiraf mereka sebagai warganegara yang sah setaraf dengan rakyat Myanmar yang lain.

Duta Khas bertaraf menteri Malaysia ke Timur Tengah Yang Berhormat Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyebut tentang “tindakan keras politik” dan “misi ketenteraan” ke Myanmar. Beliau juga menyebut tentang Bosnia, Iraq, Afghanistan, dan Syria.

Cumanya, walaupun terdapatnya penggunaan tentera, sehingga kini krisis di Iraq, Afghanistan, dan Syria tidak selesai sepenuhnya. Bahkan, perang saudara di Syria merupakan antara punca krisis pelarian Syria berpanjangan sehingga hari ini.

Di samping itu, penggunaan kekerasan ini lampu hijaunya diberikan oleh Majlis Keselamatan PBB. Majlis Keselamatan PBB sentiasa gagal untuk membuat apa-apa resolusi berkenaan Rohingya kerana Myanmar mendapat sokongan daripada kuasa-kuasa veto iaitu Rusia dan sekutu Myanmar, China.

Maka, amatlah sukar untuk tindakan ketenteraan diambil selagi dua kuasa besar ini menyebelahi Myanmar. Ditambah pula dengan polisi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang tidak begitu responsif terhadap pelanggaran hak asasi manusia.

Kecuali lah maksud YB Duta Khas tersebut ialah tindakan ketenteraan oleh negara Malaysia. Jika itu maka perbincangannya akan menjadi lebih panjang.

Justeru, bagaimana?

Antara usaha lain ialah untuk mengadakan kempen boikot barangan Myanmar. Namun, ia tidak akan memberi kesan signifikan andai Malaysia bersendirian dalam usaha ini.
Eksport Myanmar ke Malaysia hanyalah 1.6% daripada keseluruhan export Myanmar pada tahun 2018. Amat kecil jika dibandingkan dengan China 33% dan Thailand 18%.

Sebab itu, kempen-kempen kesedaran berkenaan Rohingya amat penting untuk menyeru seluruh umat manusia mengecam dan mengambil tindakan terhadap Myanmar sehinggalah Myanmar berhenti menindas Rohingya.

Itu jangka panjang.

Isu yang memerlukan perhatian sekarang juga ialah krisis pelarian Rohingya.

Awal bulan April lalu, sebuah bot diselamatkan daripada laut setelah dua bulan terkandas kerana gagal memasuki perairan Malaysia. Dilaporkan bahawa terdapat 70 pelarian yang telah terkorban di tengah laut dan 400 pelarian yang masih hidup tidak boleh berdiri dan berjalan tanpa bantuan. Mereka tinggal tulang dan kulit sahaja.

Walaupun beberapa bot sudah selamat kembali ke Bangladesh, dipercayai masih ada ratusan yang terkandas di tengah lautan.

Sepatutnya negara-negara serantau berganding bahu membantu. Sepatutnya negara-negara dunia lebih memainkan peranan menekan Myanmar. Sepatutnya Myanmar tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai di Arakan. Sepatutnya. Tetapi realitinya tidak.

Kata Pengarah Asia Selatan Amnesty International Biraj Patnaik, “semua negara dalam rantau ini mempunyai tanggungjawab untuk memastikan lautan tidak menjadi perkuburan untuk mereka yang mencari keselamatan. Bangladesh tidak patut ditinggalkan berseorangan dalam menguruskan situasi ini. Bangladesh memikul tanggungjawab ini bukanlah alasan untuk negara-negara lain berlepas tangan.”

10 yang lalu, rakyat Syria tidak akan sangka mereka akan jadi pelarian, mempertaruhkan nyawa meredah lautan Mediterranean mengharapkan secebis simpati warga Eropah.

Adakah kita boleh jamin yang kita, atau anak cucu kita, selamanya tidak akan tersadai di tengah lautan mengharapkan kemanusiaan daripada negara-negara jiran?
Ketika itu, kita akan merayu kepada Tuhan untuk mencampakkan sedikit perasaan belas kasihan dalam hati manusia. Moga Allah jauhkan kita daripada kesusahan sedemikian.

*Azhari Azizi merupakan Jawatankuasa Akademik dan Intelektual, Persatuan Belia Harmoni Malaysia.