Malaysia Dateline

Apa janji kepada syarikat serah balik tanah Felda?

Felda perlu mendedahkan apakah balasan yang dijanjikan kepada Synergy Promenade Sdn Bhd yang telah memulangkan semula tanah di Jalan Semarak kepada Felda.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad pada 21 Disember 2017 mengumumkan bahawa Lembaga Pengarah Felda yang bermesyuarat pada 15 Disember 2017 memutuskan untuk tidak lagi meneruskan projek Kuala Lumpur Vertical City.

Namun, Tan Sri Shahrir Samad semalam menyatakan sebaliknya apabila bersetuju membenarkan syarikat tersebut meneruskan projek pembangunan tersebut.

Demikian kata Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dan Pemuda AMANAH dalam satu kenyataan media bersama hari ini.

“Penyerahan semula 16 keping hakmilik tanah Felda yang bernilai RM270 juta oleh Synergy Promenade Sdn Bhd kepada Felda semalam menunjukkan bahawa transaksi pindah milik tanah tersebut sejak awal lagi tidak dilakukan secara sah memandangkan syarikat tersebut tidak mempertahankan pemilikan tanah tersebut.

“Amat menghairankan bagaimana Synergy Promenade boleh menyerahkan semula hakmilik tanah tersebut dengan mudah.

Menurut kenyataan itu, persoalan yang timbul adakah benar-benar penyerahan semula hakmilik tanah tersebut dibuat tanpa sebarang balasan sedangkan Tan Sri Shahrir Samad sebelum ini mendakwa Felda tidak menerima bayaran RM270 juta untuk penjualan tanah tersebut.

Ini kerana katanya, adalah tidak logik untuk syarikat tersebut menyerahkan semula tanah tersebut tanpa sebarang balasan. Untuk apa mereka perlu menanggung kerugian sebanyak RM270 juta.

“Maka, persoalan seterusnya, siapakah sebenarnya yang menerima bayaran RM270 juta untuk pindah milik tanah Felda tersebut?

“Oleh demikian, pihak SPRM dan Polis digesa meneruskan siasatan berkaitan transaksi pindah milik tanah tersebut pada tahun 2015 kerana Tan Sri Shahrir Samad sendiri mengakui ia suatu transaksi yang meragukan.

“Mana-mana individu atau pihak pengurusan Felda yang telah melakukan perbuatan jenayah hendaklah didakwa memandangkan transaksi tersebut dicemari dengan unsur fraud(penipuan) tidak dapat diketepikan. Penyerahan semula hakmilik tanah tersebut tidak membersihkan nama dan perbuatan jenayah mereka yang terlibat.

Kata kenyataan itu lagi, pihaknya mempersoalkan kenyataan Tan Sri Shahrir Samad yang mempertahankan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak kononnya transaksi pindah milik tanah tersebut di luar pengetahuan beliau sedangkan Perdana Menteri adalah menteri yang bertangungjawab ke atas Felda dan pelupusan aset Felda yang mana memerlukan kelulusan Perdana Menteri.

“Seksyen 3(3)(C) dan 3(3)(Ca) Akta Pembangunan Tanah 1956 memerlukan Felda mendapatkan kelulusan menteri yang bertanggungjawab untuk memasuki apa apa perjanjian dengan pemaju, termasuklah projek usaha sama.

“Sepatutnya, pihak polis dan SPRM meneruskan siasatan yang bebas dan menyeluruh termasuk penglibatan Perdana Menteri DS Najib Razak.

“Usahlah Tan Sri Shahrir Samad berlagak seperti pihak penguatkuasa undang-undang sedangkan tugas hakiki Tan Sri adalah memulihkan Felda dan bukannya membersihkan nama Perdana Menteri,DS Najib Razak.

“Telahan kami mengenai cara kes ini ditangani ternyata betul. Sekaligus, ia tidak mengubah persepsi kami dan masyarakat mengenai kepincangan pengurusan Felda yang dikawal selia di bawah Jabatan Perdana Menteri,” kata kenyataan itu lagi.

Sambungnya, tindakan Felda meneruskan projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City di atas tanah tersebut kepada Synergy Promenade amat membimbangkan kerana kepentingan Felda begitu berisiko seolah-olah Felda bersedia masuk ke lubang ular kali kedua.

“Justeru, kami mendesak Felda mengkaji semula projek Kuala Lumpur Vertical City yang ternyata tidak mendatangkan faedah kepada Felda terutama peneroka,” katanya.