Malaysia Dateline

Apa kata menteri agama, mufti, ulama 1MDB menaja bakal haji, soal MPT Bersatu

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk A Kadir Jasin menyelar tindakan kerajaan yang memberi tajaan kepada 1,200 bakal jemaah Haji menerusi dana Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut A Kadir dengan kegagalan 1MDB melunaskan hutang RM42bilion dari mana syarikat kerajaan itu mendapat dana untuk menaja imam, ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan tajaan di bawah Yayasan 1MDB itu.

“Dari manakah Yayasan 1MDB ini dapat duit kalau 1MDB gagal dan berhutang RM42 bilion?

“Adakah duit sebuah syarikat yang berhutang dan melakukan kesalahan jenayah di merata dunia boleh digunakan untuk menunaikan haji”,  tulisnya diblog.

A Kadir bekas wartawan dan penulis politik prolifik ini turut mengesa peranan pendakwah, mufti dan menteri agama untuk menerangkan dari segi hukum sebuah syarikat seperti 1MDB ini melalui yayasannya menaja bakal jemaah haji.

“Mohon menteri agama (Datuk Seri) Jamil Khir Baharom, para mufti, tok guru, tuan guru, ustaz dan tok lebai di merata pelosok negara bagi petua?

“Lagi elok kalau Majlis Fatwa Kebangsaan boleh beri fatwa!

“Tapi sebelum itu mintalah Jamil Khir, para mufti, tok guru, tuan guru, ustaz dan tok lebai pelajari dan fahami 1MDB ini macam yang Najib, Jho Low, Arul Azrul Kanda Kandasamy dan Nik Faisal Ariff Kamil faham.” ujarnya sinikal.

Datuk Seri Mohd Najib Razak (tiga dari kanan) ketika melancarkan alumni Program Khas Haji sempena Majlis Penyerahan Surat Tawaran Haji sumbangan Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Masjid Putra pada Jumaat lalu.

Pada Jumaat lalu seramai 1,200 orang yang terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima surat tawaran haji daripada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Naji Razak.

Jumlah keseluruhan 6,911 pemimpin peringkat akar umbi mendapat tajaan dalam program cetusan idea Perdana Menteri itu sejak 2011.

Justeru A Kadir melahirkan kebimbangannya jika sumber dana yang diberikan kepada bakal jemaah haji itu bukan dari sumber yang sah di sisi agama Islam.

“Takut-takut duit curi dan duit hutang ini dicampuradukkan untuk tujuan agama Islam macam membiayai orang naik haji dan buat umrah.” katanya.