Apa kata orang Kampung Serkat terhadap Salahuddin?

Apa kata orang Kampung Serkat terhadap Salahuddin?

Sikap mesra rakyat dimiliki Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub secara tidak langsung dapat dilihat ketika proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berlangsung.

Sebelum membuang undi di Sekolah Kebangsaan Serkat, Timbalan Presiden AMANAH itu sempat bertemu dengan sekumpulan penduduk kampung di Kedai Runcit Uda Trading bersebelahan sekolah itu.

Beliau turut bertanyakan khabar peniaga minuman berdekatan, Junaidah Yacob, 33, sambil bergurau dan membuka beberapa bekas bahan minuman di gerai tersebut.

Junaidah Yacob

Ibu kepada dua anak itu nampaknya agak segan untuk diajak berbual oleh Salahuddin mungkin segan dengan kumpulan media yang mengerumuni merakamkan detik pertemuannya dengan pemimpin tersebut.

Sambil meneruskan perjalanan ke muka pintu pagar sekolah, Salahuddin berselisih pula dengan Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Jefridin Atan.

Beliau kemudiannya dilihat berjabat tangan dan berbual seketika dengan pemimpin parti pembangkang yang berkemeja biru tua itu.

Salim Mohamad Shah

Perwatakan Salahuddin yang tenang dan mudah tersenyum itu juga dilihat mengundang rasa teruja petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sempat mengajak untuk berswafoto.

Sejurus selesai membuang undi, Salahuddin sekali lagi kembali ke kedai runcit dimiliki Salim Mohamad Shah, 64, yang juga pengasas parti Bersatu Tanjung Piai.

Wakil calon pada PRU-14 kepada penyandang Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik itu awal-awal lagi memberitahu bahawa Salahuddin sememangnya mesra rakyat.

“Salahuddin anak kelahiran di sini. Dia memang YB (Yang Berhormat) mesra rakyat.

Selain mesra dengan orang dewasa, Salahuddin juga mesra dengan kanak-kanak.

“Balik kampung (Serkat), memang inilah kedai yang dia (Salahuddin) duduk bersembang.

“Kadang-kadang baru sampai Ayer Hitam (dalam perjalanan pulang ke Serkat), dia suruh saya buat air kopi dan kemudian duduk bersembang dengan kami,” katanya ceria ketika ditemui Malaysia Dateline.

Salim memberitahu sikap Salahuddin itu bukannya dibuat-buat di depan media dan tentu sekali bukan baharu berlaku.

Menurutnya, sejak menjadi Ahli Parlimen Pas Kubang Kerian di Kelantan dua penggal mulai 2004 lagi, sikap Salahuddin memang sedemikian.

Menurut Salim, Salahuddin kerap berkunjung ke kedainya untuk bersembang dengan penduduk setempat.

Bahkan, jelasnya, Salahuddin dahulu sebagai pemimpin Pas di kubu tegar BN bukan sahaja di Tanjung Piai bahkan Johor masih bersifat rendah hati dengan penduduk Kampung Serkat biarpun kini sudah bergelar menteri.

“Sebelum (jadi menteri) ke, selepas ke, sama saja.

“Padahal, dulu dia (Salahuddin) pembangkang (Pas) dan kami pula penyokong Umno,” kata Salim lagi.