
Apa kata pengundi Semenyih dari puncak Bukit Broga?
Penduduk Semenyih rata-ratanya setuju bahawa sebuah hospital diperlukan di situ selepas hospital terdekat iaitu Hospital Kajang sudah terlalu padat.
Mereka juga menyokong tuntutan yang dibuat oleh calon Pakatan Harapan sebelum ini.
Penjawat awam, Sazri Lajibin, 33 berkata, ketika ditanya keperluan mendesak penduduk Semenyih, berkata, keperluan hospital tidak kurang pentingnya selain isu trafik.
“Di Hospital Kajang sudah padat,. Pesakit sudah sampai ke pintu,” kata bapa kepada seorang anak itu yang setiap bulan mendaki Bukit Broga sejak 2012.
Beliau juga memberitahu bahawa 90 peratus penduduk di Semenyih mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Katanya lagi, majoriti masyarakat tempatan tidak berpuas hati dengan prestasi PH dalam menunaikan janji pilihan raya lalu.
Reaksi tersebut, jelasnya, terdapat dalam kumpulan tertutup Facebook, “Kami Penduduk Semenyih” yang mencecah keahlian hampir 55,000 orang.
“Banyak manifesto yang dijanjikan tidak ditunaikan lagi. Ramai yang cakap itu (janji PH) tipu.
“Rasanya patut ada perubahan lebih baik selepas PRK ini,” tegas anggota keselamatan berkenaan ketika ditemui Malaysia Dateline di puncak tinjau pertama di ketinggian 880 kaki atas aras laut.
Sazri antara 951 pengundi awal daripada keseluruhan 54,471 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih.
Hari mengundi awal bagi PRK Dun Semenyih ialah pada 26 Februari ini.