Malaysia Dateline

Apa keistimewaan karya SN Siti Zainon?

Dinsman menunjukkan buku “Kasih Bonda” dalam suatu majlis memperkatakan buku itu, anjuran Balai Seni Visual Negara, di Kg Banda Dalam.

Pada 3 September lalu Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah mengumumkan nama penerima Anugerah Sastera Negara ke-14, iaitu Dr Siti Zainon Ismail.

Sejak diwujudkan pada tahun 1981, anugerah ini telah diberikan kepada 13 orang tokoh sastera seperti berikut: Keris Mas (1981), Shahnon Ahmad (1982), Usman Awang (1983), A.Samad Said (1985), Arena Wati (1987), Muhammad Hj Salleh (1991), Noordin Hassan (1993), Abdullah Hussain (1996), S Othman Kelantan (2003), Anwar Ridhwan (2009), Ahmad Khamal Abdullah (2011), Baha Zain (2013), dan Zurinah Hassan (2016).

Enam orang daripada mereka telah meninggal dunia, iaitu Keris Mas, Shahnon Ahmad, Usman Awang, Arena Wati, Abdullah Hussain dan S.Othman Kelantan. Kini dengan terpilihnya Siti Zainon Ismail, kita mempunyai lapan orang Sasterawan Negara yang bersama-sama dengan kita.

Siti Zainon Ismail, pada pandangan saya, ialah seorang yang kepengarangan atau kesenimanannya telah mencapai tahap yang bersebati dengan keperibadiannya, hingga tak dapat dipisahkan malah saling menyempurnakan. Komitmennya kepada seni dan sastera adalah total.

Sejak lahirnya kumpulan puisi “Nyanyian Malam” (1976), Siti Zainon terus menulis dan menulis tak pernah berhenti hingga sekarang, dan dia menulis dalam hampir semua bidang – puisi, cerpen, novel, esei, puisi untuk kanak-kanak, hasil kajian di bidang seni-budaya, kraftangan dan busana; di samping dia juga melukis dan aktif menyertai aktiviti seni-budaya.

Di mana saja berada, dia selalu mencatat dan melakar. Disiplin ini, di samping menyimpan bahan-bahan kecil cetakan seperti kad jemputan, misalnya, sangat membantu bukan sahaja untuk kerja kajian sastera-budaya tetapi juga kerja-kerja kreatif penulisan dan lukisannya. Ini juga antara yang saya maksudkan “komitmennya kepada seni dan sastera adalah total”.

Jadual hidup hariannya pun penuh dengan aktiviti sastera, seni-budaya dan keilmuan. Sebahgian darinya, di peringkat antarabangsa, tergambar dalam novel “Delima Ranting Senja” (2009).

Sebenarnya tidak ramai sasterawan Malaysia yang berjaya mencapai tahap ‘kesebatian’ ini. Bahkan di kalangan yang telah dianugerahi Sasterawan Negara itu pun ada yang tak mencapai tahap ini.

Siti Zainon bersama Anbakri Haron memegang dua buah karya Siti Zainon.

Siti Zainon memang tak banyak menulis novel, hanya tiga buah sahaja – “Rembang Flamboyan” (1990), “Pulau Renik Ungu” (1996) dan “Delima Ranting Senja” (2009). Namun dua buah yang terakhir itu meninggalkan kesan yang cukup penting.

Dalam penulisan novel (dan juga cerpen) Siti Zainon menulis dengan gaya penceritaannya tersendiri, kelainannya tersendiri. Membaca novelnya tidak sama dengan membaca novel-novel Melayu yang lain. Terasa kesegarannya – dengan struktur ayat yang non-konvensional, yang merangsang pembaca supaya sentiasa berfikir untuk memahami, dan ada daya tarikannya tersendiri.

Sejak membaca “Pulau Renik Ungu” (1996) saya menunggu-nunggu mereka yang ahli di bidang bahasa dan retorik untuk membuat analisa kelainan ayat-ayat Siti Zainon ini, tetapi sehingga sekarang belum ada. Dan 2009 hadir pula “Delima Ranting Senja: (DRS) yang lebih menggugah minda, memaksa saya mengulangi membacanya untuk memahaminya, sambil mendapat kepuasan.

Untuk memahami kelainan gaya penceritaan atau naratifnya saya cuba membaca beberapa buah novel karya pengarang berbeza serentak dengan membaca DRS. Hasilnya memang terasa sangat kelainan DRS, terasa kesegaran dan kedinamikan ayat-ayatnya. Yang lain-lain terasa biasa sahaja dan konvensional.

Saya bukan ahli di bidang analisa pembinaan struktur ayat dan gaya penceritaan. Namun kerana tertarik dengannya saya cuba juga memahaminya dengan terus membaca karya-karya Siti Zainon, sambil mendekati dan mengenali peribadi pengarangnya sendiri – dan akhirnya saya memahami bahawa gaya penceritaan dan struktur ayat dalam novel-novel dan cerpen-cerpen juga puisi-puisi Siti Zainon itu ada hubungan yang kuat dengan gerak di dalam minda pengarangnya sendiri.

Bagaimana mindanya bergerak dan mengalir maka begitulah juga gaya penulisannya.

Pendek kata, Siti Zainon telah berjaya mengemukakan satu gaya pengucapannya tersendiri dalam karya-karyanya, dan melalui gaya pengucapan tersendiri itu dia berhasil mencipta beberapa karya bermutu tinggi yang pada nilaian saya “Delima Ranting Senja” adalah puncaknya, buat masa ini.

Satu lagi karya Siti Zainon yang saya anggap penting ialah “Kasih Bonda – Kampung Paya Kami” (2008). Ia adalah kombinasi sketsa dan puisi. Setiap satu puisi, satu sketsa.

Semuanya 47 puisi dan 47 sketsa, dicipta untuk mengangkat jejak-jejak warisan budaya penting yang menunjangi sejarah ketamadunan sebuah wilayah yang kini dikenali sebagai Kuala Lumpur ibukota Malaysia dan sebahagian wilayah Gombak, negeri Selangor – kampung kediaman asal Siti Zainon.

Puisi-puisi dalam kumpulan ini memperlihatkan keahlian dan ketelitian penyair menggambarkan secara halus terperinci benda-benda dan peralatan di rumah, di dapur, di laman rumah, di sekolah dan pelbagai peristiwa dalam kehidupan kampung. Ia puisi-puisi rakaman penting sejarah suatu bangsa yang bertujuan mendidik dan merakam fakta kebenaran.

Buku ini menghadiahkan kita puisi-puisi berharga yang mengangkat kedaulatan dan kebanggaan suatu bangsa, dilengkapi dengan karya senilukis (sketsa) yang membantu penghayatan fakta-fakta sejarah ketamadunan itu. Dan ia adalah bukti kesungguhan Siti Zainon menghargai bentuk pengucapan kreatif bangsanya, dengan mencipta karya-karya yang bertujuan mengungguli ketamadunannya; dan itu adalah satu penerokaan yang patut kita hargai.

Sehingga ini inilah satu-satunya karya sastera yang berjaya merakam sebuah kehidupan dekad 50-an-60-an di sebuah kampung Melayu di kota Kuala Lumpur, yang sekarang sedang diancam kemungkinan dimusnahkan oleh jentera dan agen-agen kapitalisme yang tanpa pertimbangan kemanusiaan. Makanya karya ini menjadi sangat berharga.

Sempena dengan penganugerahan ini Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) bersama dengan Penduduk Kampung Banda Dalam akan mengadakan suatu majlis sambutan bagi mera’ikan Siti Zainon di kampung kelahirannya sendiri, bertempat di Madrasah Tarbiyah (Madrasah Seni), Kampung Banda Dalam, Jalan Gombak, Kuala Lumpur, pada 29 September, mulai selepas Isyak.

Selain itu kami juga sudah lama merancang untuk mengadakan suatu wacana mengenai novel Delima Ranting Senja. Seorang pakar retorik sedang menelaah novel tersebut, dan kami akan mengumumkan butiran wacana tersebut apabila beliau sudah bersedia.