Apa kenangan ditinggalkan penulis selepas mati?

Apa kenangan ditinggalkan penulis selepas mati?

Menjadi penulis buku tidaklah berwang, terutamanya sejak empat tahun kebelakangan ini. Zaman kemerosotan industri buku.

Secara umumnya penulis hanya menerima 10 hingga 15 peratus royalti bergantung pada perjanjian. Ada yang akan dapat tempoh enam bulan atau setahun.

Kadang-kadang royalti yang ditunggu dalam tempoh ini, jumlahnya gaji sebulan pun tidak sampai.

Ini belum lagi menyentuh isu penulis yang tidak menerima royalti, atau ditipu penerbit.

Tentu sahaja ada pengecualian – buku anda hebat, anda kerja keras menjual, anda terkenal, anda memang berbakat besar dan sebagainya.

Namun secara umumnya, untuk pendatang baharu yang sederhana bakatnya, dan sederhana usahanya – inilah realiti penulis buku.

Ia bukan salah penerbit, kerana penerbit pun bergelut untuk menjual buku. Nafsu kebanyakan rakyat kepada buku semakin merudum.

Perhubungan penulis dan penerbit adalah atas dasar saling mempercayai. Ia hubungan yang murni dan tidak boleh dikhianati.

Bukan masyarakat bencikan bahan bacaan, cuma wujud platform yang lain terutamanya digital. Tambahan lagi, kos sara hidup semakin tinggi. Wang disalurkan kepada keperluan lain.

Apa yang anda boleh lakukan untuk membantu penulis adalah membeli buku mereka, lebih baik jika membeli secara terus dari penulis.

Kebiasaannya penulis boleh membeli dengan harga murah (tanpa royalti) daripada penerbit. Dari sana penulis boleh mendapatkan wang secara segera dan lebih banyak berbanding royalti.

Jika anda mahu menulis buku semata-mata kerana wang, lupakanlah. Banyak hal lain yang anda boleh lakukan untuk mendapatkan wang, melainkan anda popular atau ada strategi yang baik – buku bukanlah salah satu cara tersebut.

Menulis buku adalah tanggungjawab, instrumen untuk berkongsi idea dan ilmu. Paling penting bagi saya – ia adalah kenang-kenangan yang akan ditinggalkan apabila seseorang penulis itu mati.

 

* Penulis tampil dengan buku kedua bertajuk Malaysia Tamat Tempoh terbitan DuBook Press yang boleh dibeli di reruai 4030 – 4033 di Dewan Tun Razak 4, PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 ini.