Malaysia Dateline

Apa khabar Uighur?

Jarang-jarang sekali berita mengenai orang Uighur didengar. Sesekali keluar juga berita betapa ada orang daripada kaum itu yang mengadu terputus hubungan dengan sanak saudaranya yang berada di Xinjiang, China.

Baru-baru ini, seperti sebelumnya keluar berita seorang Uighur yang menyatakan kebimbangannya terhadap nasib ibunya yang berada di kampung halamannya di Xinjiang. Begitulah yang berlaku dari masa ke masa. Berita ini akan muncul dan kemudian senyap.

Seperti biasa, berita ini muncul dari Turki di mana terdapatnya satu komuniti besar orang Uighur yang menetap di sana setelah keluar dari China. Selain Turki, komuniti Uighur terdapat di Amerika Syarikat dan Eropah khususnya Jerman.

Umat Islam dunia umumnya tentu bersimpati dengan nasib Uighur di China. Pihak Barat juga memihak pada orang Uighur dalam konteks mereka memusuhi China dan menjadikan isu ini sebagai bahan propaganda bagi mengenakan tekanan terhadap negara itu.

Tidak semua orang Islam yang memihak pada Uighur. Ada yang menerima penjelasan China. Bagi kerajaan-kerajaan pula, mereka memilih untuk berdiam diri dan menganggap ia merupakan soal dalam negara China.

Tetapi bagi pihak Barat, maksudnya Amerika dan sekutu-sekutunya di Eropah, ia merupakan isu hak asasi manusia yang terus hendak diperjuangkan.

Apa yang berlaku terhadap Uighur disamakan dengan isu Tibet, Hong Kong dan Taiwan yang semuanya mempunyai konteks agenda Barat untuk mengekang China.

Sokongan umat Islam terhadap orang Uighur dilihat sebagai ukhuwah sesama anutan agama.

Adalah sukar untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku ke atas orang Uighur. China memaparkan keadaan yang baik berlaku di sana. Sementara pihak Barat menggambarkan keadaan sebaliknya.

Untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku, seseorang wajar pergi ke Xinjiang dan melihat sendiri. Tetapi tentulah untuk itu sukar dilakukan, kalaupun tidak mustahil.

Kerja membuat tinjauan ini adalah urusan wartawan. Tetapi dalam zaman Internet ini, yang mana banyak media tradisi sudah terkubur, mereka yang mampu berbuat demikian amat terhad terutama dari negara-negara Islam.

Untuk ke sana, pastinya ia memerlukan keizinan dan sokongan kerajaan China. Tetapi kalau pergi ke sana dengan kerjasama kerajaan China, maka lawatan itu akan berbentuk teratur dan berjadual.

Maksudnya seseorang hanya dapat melihat apa yang dikehendaki oleh pihak berkuasa. Wartawan tidak akan bebas untuk memperoleh maklumat.

Sokongan umat Islam terhadap orang Uighur dilihat sebagai ukhuwah sesama anutan agama. Semangat persaudaraan sesama anutan agama adalah tinggi di kalangan orang Islam di seluruh dunia.

Tetapi hakikatnya ia bukanlah sesuatu yang mutlak. Maksudnya, orang Islam sendiri pun berbalah dan berperang sesama sendiri di banyak tempat, sepanjang zaman.

Dan seperti orang lain juga, menjadi orang Islam, tidak secara automatik menjadi baik. Ada orang Islam yang baik. Begitu juga, ada yang jadi jahat. Ada orang Islam yang menjadi pejuang pembebasan, ada pula yang menjadi pengganas.

Maka adalah lebih baik jika dalam memberikan sokongan terhadap sesuatu perjuangan, ia lebih wajar dilandaskan pada kemanusiaan berasaskan pada keadilan dan bukannya anutan agama.

Bentuk sokongan bukanlah pada kedudukan orang Islam melawan orang bukan Islam, tetapi adalah antara perjuangan keadilan melawan kezaliman.

Bagi pihak Barat, sokongan mereka ke atas orang Uighur adalah atas hak asasi manusia dan demokrasi. Itulah nilai-nilai yang mereka tampilkan.

Dalam konteks nilai-nilai keadilan untuk melawan kezaliman, hak asasi manusia dan demokrasi adalah sebahagian daripada perjuangan keadilan tetapi konsep keadilan adalah begitu muluk dan abstrak. Konsep hak asasi manusia dan demokrasi adalah lebih jelas.

Kumpulan hak asasi menggesa tindakan antarabangsa terhadap dasar Parti Komunis China yang melakukan pembersihan etnik.

Namun, adalah diketahui bahawa Barat mempunyai sikap hipokrit yang terkenal dalam hal ini. Ketika mana mereka memperjuangkan hak asasi manusia dan demokrasi, terdapat kepentingan geopolitik di sebaliknya yang jelas dapat dilihat.

Apabila menampilkan landasan hak asasi dan demokrasi, penentangan Barat terhadap China adalah berbentuk ideologi. Maknanya, ideologi Barat berbentuk demokrasi melawan China yang berupa autokrasi, dan mahukan republik rakyat itu mengikut sistem mereka.

Tetapi apabila dilihat dari sejarah abad ke-20, pertembungan ideologi hanyalah satu lapisan bagi penentangan itu, lebih besar lagi ialah Barat mahu menguasai China, atau dalam perkataan lain, Washington mahu Beijing tunduk pada mereka.

Contoh yang jelas berhubung perkara ini ialah dengan melihat apa yang berlaku terhadap Soviet Union. Penentangan Amerika terhadap Soviet adalah atas sebab ideologi, kapitalisme lawan komunisme.

Tetapi apabila Soviet runtuh dan Rusia mengambil sistem kapitalis, Amerika tidak berhenti setakat itu. Ia terus mengepung Rusia supaya Moscow tunduk pada Washington.

Caranya ialah menguasai negara-negara di sekeliling Rusia dan ia merupakan langkah geopolitik mengepung. Amerika mengenakan pengaruh ke atas Ukraine, Belarus, Kazakhstan dan negara Asia Tengah yang berada di selatan Rusia.

Jadi penentangan Amerika terhadap Soviet bukanlah bersifat ideologi tetapi geopolitik, sesuatu yang pernah berlaku sejak dahulu lagi antara kuasa-kuasa besar, sebelum Soviet ditubuhkan.

Pada abad ke-19, persaingan adalah antara Empayar British dan Rusia. Pada masa itu, Amerika belum menjadi kuasa dunia.

Maka terhadap China, perkara yang serupa juga akan berlaku. Katakan China menjadi demokratik dan Uighur memperoleh negara sendiri dengan Xinjiang menjadi Uighuristan atau Turkestan Timur, kemaraan Barat tidak akan terhenti di situ.

Mereka akan terus mara hingga China memenuhi kepentingan mereka. Pada awal abad ke-e0, itulah yang telah berlaku apabila kuasa-kuasa luar, bukan saja Barat, berusaha menjajah China. Dari Rusia, Britain, Perancis, Jerman hinggalah Jepun, masing-masing mahu bahagian dari wilayah China.

China dikatakan memenjarakan lebih sejuta etnik Uighur dan minoriti Islam lain di 8216kem pendidikan semula8217 atas alasan mahu memberi latihan kemahiran

Dalam pada itu, tidak bolehlah hendak dikatakan bahawa orang Uighur tidak ada isu besar yang perlu diprihatinkan. Walaupun banyak dimensi yang perlu dipertimbangkan untuk memahami keadaan sebenar nasib Uighur tetapi apa yang diyakini ialah mereka tidak mempunyai kebebasan untuk mengamalkan budaya, termasuklah soal agama.

Di sinilah masalah ideologikal dengan Republik Rakyat China yang mengamalkan fahaman Sosialisme dengan Ciri-ciri China. Fahaman ini menggabungkan komunisme dan nasionalisme.

Perlu diingat bahawa terdapat banyak aliran dalam komunisme dan nasionalisme, serta mereka bersilang di antara satu sama lain.

Komunisme China kontemporari yang dipanggil Sosialisme dengan Ciri-ciri China itu diasaskan oleh Deng Xiaoping dan dihuraikan oleh Xi Jinping, presiden sekarang.

Ia berasaskan pada ekonomi pasaran di bawah kepimpinan politik Parti Komunis China. Nasionalisme dalam bentuk integriti negara bangsa nenjadi tonggak fahaman ini. Ia bermaksud tidak akan ada tolak ansur dari segi integriti wilayah, sama ada Xinjiang, Tibet, Hong Kong mahupun Taiwan.

Sementara di pihak Uighur juga, mereka pun mempunyai pelbagai kecenderungan. Adalah dipercayai bahawa di kalangan mereka, ada yang hanya mahu diberikan kebebasan mengamalkan kebudayaan sendiri.

Ada pula yang tidak mahu hidup mereka ditentukan oleh kerajaan, sementara yang lain pula menuntut autonomi. Ada pula yang mahukan kemerdekaan. Sementara ada segelintir yang menjadi militan dan mengambil jalan kekerasan.

Jadi isu Uighur ini tidak mudah dan ia bukanlah semata-mata orang Islam lawan bukan Islam.