Malaysia Dateline

Apa lagi Umno mahu?

Jikalau gandingan Perikatan Nasional ditubuhkan atas nama “perpaduan ummah”, untuk membentuk kerajaan persekutuan yang berteraskan parti Melayu-Islam, atas nama apa pula PN berpecah?

Persoalan ini wajar dijawab oleh pemimpin Umno, Pas dan PPBM, yang kini dalam hubungan retak menanti belah. Kerana Umno tidak diletakkan pada kedudukan dominan? Bukankah senario sebegini telah dijangkakan apabila Umno menobatkan Muhyiddin Yassin, Presiden PPBM sebagai Perdana Menteri pada Februari 2020? Senario terbaik untuk Umno adalah ketiga-tiga parti itu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah – itupun jikalau Muhyiddin Yassin sudi merendah diri – mengapa timbul khayalan bahawa Umno boleh mendominasi gabungan ini sebaliknya, dengan kuasa pelantikan menteri berada dalam tangan Muhyiddin?

Persoalan seterusnya, jikalau Umno menarik diri daripada kerajaan Muhyiddin Yassin, membentuk kerajaan baru sama ada dengan Pakatan Harapan mahupun DAP, apakah Umno yang memiliki 39 kerusi, juga mahu menuntut kedudukan dominan dalam kerajaan baru? Dengan 38 kerusi yang dimiliki PKR, dan 42 kerusi yang dikuasai DAP, ditambah 11 kerusi oleh AMANAH yang solid menyokong PH, mungkinkah jawatan Perdana Menteri diberikan kepada Umno? Dan jikalau sekali lagi Umno dikesampingkan, apakah mereka mahu menjatuhkan juga kerajaan yang baru ini?

Itupun belum diambil kira siapakah calon Perdana Menteri daripada Umno. Apabila bab calon PM ini disentuh, ia mencungkil ingatan kita bahawa Umno pernah menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada Muhyiddin Yassin pada Oktober 2020. Ia dilihat sebagai ugutan terhadap Muhyiddin Yassin sebelum pembentangan Belanjawan 2021. Bukan main garang desakan itu, namun sehingga hari ini, Umno belum mencapai kata sepakat dalam soal calon TPM – setelah berkali-kali bermesyuarat hingga ke lewat malam.

Bagaimana seseorang itu memperolehi apa yang dimahukan, sedangkan dia sendiri tidak tahu apa yang dimahukannya?

Sekilas pandang, ini masalah kepimpinan. Jelas, pemimpin Umno tidak berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan, tidak bertegas ketika memberi kata dua, dan tidak sanggup mempertahankan keputusan yang telah dimuktamadkan. Presiden Ummo, Ahmad Zahid Hamidi teragak-agak dalam langkah percaturannya ketika berdepan dengan Muhyiddin – sehingga Muhyiddin berjaya menarik nafas lega setiap kali dilanda krisis.

Namun, seandainya dikupas lebih mendalam, situasi kebuntuan ini disebabkan permainan politik “kluster mahkamah” dalam Umno, yang mengambil kesempatan ke atas situasi politik terkini untuk tawar-menawar dengan kedua-dua blok, antara PH dengan PN. Proses sedemikian telah mencetuskan ketidaktentuan politik, yang sudah tentu mengalih tumpuan kita tatkala berdepan dengan penularan wabak Covid-19, ditambah pula dengan banjir yang melanda pada awal tahun 2021.

Semua ini “pengetahuan am” bagi mereka yang celik politik. Naratif “perpaduan Melayu”, atau perpaduan mana-mana kaum, adalah serapuh kerajaan Muhyiddin. Kepentingan manusia berbeza sungguhpun daripada keturunan yang sama. Sedangkan kepentingan abah, pak long, pak ngah dan pak su boleh berbeza dalam sesebuah keluarga, apatah lagi kepentingan kelompok manusia dari lapisan masyarakat yang berbeza?

Ada Melayu yang akan terkapai-kapai dalam air bah seandainya ada Melayu yang ghairah menggondolkan hutan; ada Melayu yang akan hilang nyawanya lantaran terlanggar lubang jalan apabila ada Melayu dalam Mercedes tidak menjalankan tugasnya dengan tanggungjawab. Apabila ada rezeki yang diperolehi atas nama Melayu, sudah tentu ada bala yang menimpa ke atas sosok Melayu.

Justeru, naratif yang berasaskan perkauman – tidak kira apa kaum sekali, semakin tidak releven untuk menyelesaikan masalah negara yang semakin rumit. Virus corona tidak mengenali warna kulit, air bah tidak mengenal keturunan tuan rumah – rasa kemiskinan sama untuk semua kaum – lapar, haus, sakit, letih dan sebagainya – semuanya sama.

Berlatar-belakangkan konteks ini, setiap parti politik yang berlandaskan agenda kaum, perlu menilai semula perjuangan mereka, lebih-lebih lagi selepas Malaysia melalui sejarah pertukaran kerajaan persekutuan pada 9 Mei 2018, dan “Langkah Sheraton” pada Februari 2020. Tiada parti politik yang mampu mentadbir sesebuah negara dengan baik hanya bersandarkan retorik kaum dan agama, tanpa kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan keadilan dalam pemerintahannya.
Berbalik kepada Umno. Masalahnya, parti ini tidak sempat mengalami reformasi dalaman yang menyeluruh sebelum kembali berkuasa. Kelompok pemimpin yang terpalit dengan skandal masih berpengaruh dalam kalangan akar umbi sedia ada; sementara kelompok pemimpin yang imejnya lebih positif, tidak bertempat dalam saf pimpinan – sama ada ditolak dalam pemilihan parti pada tahun 2018, mahupun enggan tampil bertanding. Dengan kata lain, Umno tidak diberi nafas baru sepenuhnya selepas kekalahan dalam PRU14 pada 9 Mei 2018.

Padahal proses ini boleh dilengkapkan, seandainya pemimpin seperti Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin sanggup menunggu. Pemimpin yang tercalar dengan skandal akan disingkirkan melalui proses kehakiman, dan kekosongannya dalam parti akan diisi oleh pemimpin yang kurang kontroversi. Jikalau diberi masa sepenggal penuh kepada PH, sudah tentu ia mengundang situasi yang lebih positif untuk semua pihak. Selepas pemimpin yang korup diketepikan, Umno akan mampu membina semula kekuatan dan imej barunya, lantas memberi persaingan yang sengit kepada PH, dari segi keberkesanan dan kecekapan pentadbiran. Rakyat juga yang akan dimanfaatkan apabila kedua-dua blok ini bersaing atas dasar dan pentadbiran.

Namun demikian, sejarah tidak berlaku sebegitu. Ketidaksabaran pemimpin Umno, termasuk mereka yang memiliki imej positif untuk kembali ke Putrajaya, mengubah halatuju perjalanan sejarah. Kini, mereka bergelut sesama diri dalam Umno, sehingga lemah ketika berdepan dengan PPBM, dan kemudian mengakibatkan satu Malaysia terayun-ayun dalam ketidakstabilan politik, tatkala kita berdepan dengan virus, banjir dan kemelesetan ekonomi.

Jarang-jarang politikus mengaku tersilap langkah dalam percaturan politiknya, kerana apapun kekalutan yang berlangsung, Mercedes mereka masih mampu merempuh air bah, dan batang tubuhnya akan diberi rawatan terbaik jikalau dijangkiti Covid-19. Cuma, berapa kali pembohongan yang perlu kita lalui, sebelum sedar bahawa ianya satu penipuan? Berapa pengajaran yang perlu kita lalui, sebelum kita mengambil iktibar daripadanya?