Malaysia Dateline

Apa logik Hadi anggap Undi 18 tidak matang?

Setiausaha Agung AMANAH, Dr Mohd Hatta Ramli menyelar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menganggap pengundi usia 18 tahun sebagai tidak matang.

Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan tersebut berpendapat alasan Ahli Parlimen Marang itu sebagai tidak logik memandangkan usia 18 tahun sudah layak untuk kemasukan tentera.

“Rugi. Padahal, mereka (anak muda 18 tahun) boleh masuk tentera dan tembak musuh tetapi mengundi tidak boleh.

“Tidak matang kata Ustaz Hadi. Apa punya tidak masuk akal. Kahwin bawah umur, boleh. Matang?” bidasnya dalam Jelajah Ceramah Isu Politik Semasa di Kampung Bharu di ibu negara malam ini.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) yang dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Walhal, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had kelayakan mengundi kepada 18 tahun sudah pun diluluskan di Parlimen pada Julai 2019 dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli dewan, sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menjangkakan ia boleh dilaksana selewat-lewatnya Julai ini.

Mengulas lanjut, Dr Hatta menyifatkan usaha untuk penambahbaikan proses pilihan raya termasuk pendaftaran automatik telah lama dilakukan melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat yang turut beliau sertai.

“Lama kita perjuangkan Undi 18 dan pendaftaran automatik. Tiba kita (PH) memerintah, kita tidak sampai majoriti dua pertiga.

“Tetapi atas tanggungjawab kita kepada harapan rakyat, kita bawa usul pindaan Perlembagaan untuk umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik.

“Antara penyokong kuatnya Ustaz Hadi Awang dan Pas. Akhirnya undang-undang itu lulus dengan majoriti dua pertiga. Bukan mudah.

“Tetapi tiba-tiba sudah lulus, senang-senang saja SPR kata tidak mahu buat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan PN tidak mempunyai kesungguhan politik untuk melaksanakan Undi 18 yang melibatkan tiga kohort iaitu 18, 19 dan 20 tahun dengan jumlah kira-kira 1.2 juta orang.