Malaysia Dateline

Apa makna ‘Keluarga Malaysia’ jika golongan terjejas terus diabai?, soal MP DAP

Sekadar memberi janji manis namun tiada jaminan perlindungan sosial dan bantuan sewajarnya, tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi jutaan rakyat Malaysia yang terkesan hari ini.

Sepanjang dua tahun ini, jelas pada kita bahawa mangsa pandemik yang paling teruk terjejas adalah golongan B40, M40 serta para peniaga kecil yang rata-ratanya berdepan dengan masalah kewangan.

Biarpun kerajaan sedar akan masalah dihadapi golongan itu, namun Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoal, adakah isu tersebut diangkat dan diberi jalan penyelesaian melalui Rancangan Malaysia Ke-12 yang diumumkan kerajaan.

“Perdana Menteri Ismail Sabri dalam ucapannya memfokuskan pada konsep ‘Keluarga Malaysia’ tetapi gagal memberi jalan keluar kepada masyarakat miskin negara ini menerusi konsep ‘manis’ tersebut,” katanya dalam kenyataannya semalam.

Bahkan katanya, ini menunjukkan betapa tulinya kerajaan hari ini dengan memikirkan bahawa ‘ayat sedap’ dan kata-kata manis dapat mengaburi hakikat bahawa mereka gagal membantu rakyat sewajarnya.

Beliau turut berkongsi data terkini di mana sehingga 580,000 isi rumah M40 telah jatuh ke kategori B40, dengan ramai dalam kalangan pekerja terpaksa mengeluarkan wang sendiri menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kelangsungan hidup.

Manakala UNICEF pula melaporkan bahawa keluarga berpendapatan rendah terpaksa mengurangkan pengambilan makanan akibat kehilangan kerja atau gaji dipotong.

“Rancangan Malaysia ke-12 gagal memikirkan perihal perlindungan sosial sebagai polisi utama untuk memacu negara ke hadapan, pasca-Covid-19.

“Memberi perhatian dalam aspek perlindungan sosial dapat meningkatkan permintaan domestik, menjana kesan-kesan positif ekonomi, memberi sokongan sosial dan pastinya dapat menjamin kestabilan politik.” tambah Charles lagi.

Dalam pada itu, Charles mengemukakan empat cadangan untuk diambil kira oleh pihak kerajaan iaitu mendaftar dan memperkenal skim insurans untuk pekerja tidak formal, merombak semula Bantuan Sara Hidup (BSH), membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menilai semula gaji minima.

‘Keluarga Malaysia’ menurutnya hanya akan menjadi satu konsep yang sedap didengar atau dibaca, jika kerajaan terus mengabaikan sistem yang inklusif dan memberi fokus kepada kemiskinan serta masyarakat yang terkesan dengan impak bencana seperti Covid-19 ini.