Apa maksud merungkai perlembagaan? Ini penjelasan pengamal undang-undang

Oleh NASUHA RAHMAN

Ramai yang tidak tahu maksud sebenar merungkai perlembagaan yang menjadi perdebatan hangat dalam kalangan orang politik sejak akhir-akhir ini.

Baru-baru ini Presiden Pas Abdul Hadi Awang mendakwa Pakatan Harapan (PH) cuba merungkai perlembagaan negara ketika menjadi kerajaan iaitu cuba merungkai Perlembagaan Negara tentang Agama Islam dan Hak Keistimewaan Melayu.

Pengamal undang-undang atau Peguam Dr Dzulqarnain Lukman menjelaskan apa maksud merungkai perlembagaan yang sebenar. Ini penjelasannya;

Merungkai ini maksudnya merungkaikan, menghuraikan contohnya menghuraikan simpulan tali atau membuka bungkusan.

Maknanya kalau merungkaikan Perlembagaan itu ibaratnya merungkai sesuatu yang payah dibuka seperti mengubah atau meminda Perlembagaan.

Cara merungkai Perlembagaan Persekutuan adalah dengan meminda melalui proses legislatif. Bagi pelajar undang-undang yang belajar Undang-Undang Perlembagaan pastinya pernah belajar cara nak merungkai Perlembagaan melalui metod yang dinyatakan dalam Perkara 159.

Secara asasnya meminda Perlembagaan ini perlu sokongan dua pertiga majoriti jumlah Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara. Bahasa Perlembagaan menyebutkan jumlah ahli Dewan bukannya sekadar jumlah yang hadir pada hari pengundian.

Jumlah Ahli Dewan Rakyat adalah 222 kerusi. Jadi dua pertiga bermakna sekurang-kurangnya mendapat sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat.

Namun jika ianya berkaitan pindaan kepada peruntukan kewarganegaraan, Majlis Raja-Raja, kedudukan istimewa Raja-Raja, kedudukan Bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera maka ianya perlu juga mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.

Jika melibatkan hal Sabah dan Sarawak pula mesti mendapat persetujuan negeri itu.

Begitulah bukan senang hendak rungkai Perlembagaan ini. Sewaktu penggubalan Perlembagaan ini, Lord Reid dan rakan-rakannya menyebut pindaan kepada Perlembagaan tidak boleh terlalu susah sampai jadi mustahil untuk dipinda dan tidak boleh terlalu senang sampai melemahkan Perlembagaan.

Ironinya dahulu ada orang kata Perlembagaan Persekutuan ini perlembagaan taghut dan perlembagaan penjajah. Jika mati kerana menentang perlembagaan ini dianggap mati syahid tetapi kini orang itu pula yang kata jangan biarkan kumpulan itu rungkai Perlembagaan.

Dahulu sewaktu Perikatan/BN memenangi lebih dua pertiga kerusi Dewan Rakyat banyak kali juga Perlembagaan ini dirungkaikan.

Apa maksud merungkai perlembagaan? Ini penjelasan pengamal undang-undang

Setakat tahun 2003, Dr Aziz Bari tulis dalam bukunya, Malaysian Constitution A Critical Introduction bahawa Perlembagaan Persekutuan ini telah dirungkai sebanyak 44 kali berbanding dengan Perlembagaan Amerika Syarikat yang wujud sekitar 200 tahun (semenjak 1787) hanya melalui 27 kali pindaan. Apa yang Perikatan/BN rungkai itu banyak juga yang mengubah struktur asas Perlembagaan khasnya berkaitan undang-undang darurat dan kedudukan istimewa raja-raja.

Zaman PH memerintah 22 bulan hanya ada sekali Perlembagaan ini dirungkai iaitu berkaitan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik.

Zaman Langkah Sheraton ada dua kali pindaan iaitu pertamanya berkaitan mendefinisikan semula Malaysia sebagai terdiri daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Keduanya, adalah pindaan berkaitan kedudukan ahli Dewan Rakyat yang lompat parti.

Jadi sebenarnya orang itu yang kata PH hendak rungkai Perlembagaan, cabar Islam, cabar kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera itu semasa 22 bulan itu nyanyuk, lupa, fitnah, kelentong, sembang deraih atau apa?
Dahulu dalam usrah selalu dibaca ayat

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُوْنُوْا قَوَّامِيْنَ لِلّٰهِ شُهَدَاۤءَ بِالْقِسْطِۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَاٰنُ قَوْمٍ عَلٰٓى اَلَّا تَعْدِلُوْا ۗاِعْدِلُوْاۗ هُوَ اَقْرَبُ لِلتَّقْوٰىۖ وَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ خَبِيْرٌۢ بِمَا تَعْمَلُوْنَ

Wahai orang-orang yang beriman. Jadilah kamu sebagai penegak keadilan karena Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil.

Dan JANGANLAH KEBENCIANMU TERHADAP SUATU KAUM (KUMPULAN/PARTI) mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. BERLAKU ADILLAH. KERANA (ADIL) ITU LEBIH DEKAT KEPADA TAKWA. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan. (QS Al-Ma’idah)