Malaysia Dateline

Apa maksud Takiyuddin buat seruan kepada pengamal undang-undang? – Maria Chin

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mempersoalkan apakah maksud yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan apabila menyeru Majlis Peguam Malaysia untuk bertindak mengikut lunas undang-undang.

Beliau menjelaskan, fungsi dan tanggungjawab pengamal undang-undang mahupun ahli akademik dalam perihal perundangan dan Perlembagaan Malaysia sememangnya untuk memberi pemahaman, penjelasan mahupun kritikan.

Justeru beliau bertanya adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini tidak mampu menerima cadangan dan kritikan daripada badan profesional mengenai darurat yang menurutnya selaras dengan hak kebebasan bersuara.

“Ramai peguam, pakar perundangan dan perlembagaan telah menyatakan pandangan dan tafsiran mereka terhadap proklamasi darurat ini, apakah darurat digunakan untuk mengambil kesempatan menggantung Parlimen dan menyelamatkan diri dalam krisis politik?

“Ini tidak adil kepada rakyat dan menidakkan hak demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Inilah (Parlimen) ruang dan tempat yang sepatutnya untuk mendengar suara rakyat

“Ini jelas menunjukkan betapa rakusnya kerajaan PN ini semakin angkuh dan langsung tidak memahami kemarahan rakyat sekarang, merasakan berlakunya ketidakadilan dalam penguatkuasaan yang bersifat antara dua darjat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, Takiyuddin menyeru Majlis Peguam Malaysia serta semua pengamal undang-undang untuk bertindak mengikut lunas undang-undang serta menzahirkan dukacita terhadap sesetengah pihak yang cuba mentafsirkan peraturan mengikut selera sendiri.

Beliau berkata, tindakan berkenaan seolah-olah bertujuan untuk meraih populariti dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong pada Januari lalu telah berpuas hati bahawa satu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam, di dalam Persekutuan.

Sementara itu, Maria Chin yang juga bekas Pengerusi Bersih 2.0 berkata, kerajaan PN dilihat menggunakan kuasa darurat untuk membuat keputusan dasar secara bersendirian dengan peraturan pentadbiran yang menyukarkan lagi peniaga kecil menggaji pekerja, selain bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana tidak mencukupi.

Katanya, kelakuan PN seolah-olah buta dengan kemarahan rakyat dan inilah kerajaan yang tidak prihatin dengan kesusahan rakyat pada masa ekonomi sedang meleset.