Malaysia Dateline

Apa Menteri Pengajian Tinggi buat terhadap ribuan ‘profesor kangkung’?

Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad, perlu menjelaskan apa yang telah dilakukan untuk menambah baik kualiti lebih daripada 2,500 ‘profesor kangkung’ yang didedahkan oleh Tun Arshad Ayub tahun lepas.

Tun Arshad, 93, adalah seorang daripada sekumpulan kecil rakyat Malaysia yang dianugerahkan darjah Tun tanpa mempunyai sebarang latar belakang politik, atau berkhidmat sebagai Ketua Hakim, atau sebagai seorang pemegang jawatan awam utama, merupakan pengarah pengasas Institut Teknologi Mara (ITM) dari tahun 1966 sehingga 1975 sebelum institusi tersebut diangkat tarafnya ke universiti menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menjadi suatu perkara yang membimbangkan apabila “profesor kangkung”, yang tidak menambah baik kelayakan akademik mereka, kini mengambil peranan yang lebih penting di peringkat nasional.

Cabaran terdekat kita semua adalah untuk meningkatkan kualiti pendidikan di semua peringkat di dalam negara, sama ada dalam kalangan pelajar atau kakitangan pengajar.

Namun, terdapat orang yang cuba untuk mengalihkan perhatian daripada isu ini dengan menuntut supaya sekolah rendah Cina dan Tamil ditutup dengan membuat dakwaan yang tidak benar yang mengatakan kewujudan sekolah ini adalah punca perpecahan di dalam negara.

Oleh sebab itu, saya telah merayu kepada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (MAPPIM), dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) untuk menarik semula rayuan mereka dan juga supaya I-Guru untuk tidak mengemukakan rayuan ke atas keputusan mengenai sekolah rendah Cina dan Tamil.

Saya berharap mereka dapat memainkan peranan untuk menetapkan semula dan mencapai potensi Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dari segi daya saing global, tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang, memerangi rasuah, dan mempunyai sebuah kerajaan yang cekap dan berkesan.

Syarat pertama untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia adalah dengan mempunyai sistem pendidikan yang bertaraf dunia, termasuklah suatu sistem untuk membolehkan 2,500 “profesor kangkung” ini menjadi profesor yang bertauliah dan berkelayakan.

Kritikan menteri pelancongan, industri kreatif, dan seni persembahan negeri Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, bahawa penjawat awam patut digalakkan untuk menggunakan “bahasa Inggeris dengan baik” dan bukannya dihukum kerananya adalah salah satu lagi contoh perkara yang tidak baik dalam negara.

Kabinet dalam mesyuaratnya pada hari Rabu ini, patut mendengar suara rakyat Sarawak dan Sabah, G25, dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Rafidah Aziz, untuk membatalkan arahan Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mempertimbangkan tindakan pembetulan dan hukuman untuk menguatkuasakan penggunaan Bahasa Malaysia dalam perkhidmatan awam dan juga agensi-agensi lain yang berkaitan dengan kerajaan.

Kerajaan sepatutnya bimbang mengenai penurunan kualiti penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia kerana bahasa Inggeris ini adalah bahasa sains, Google, dan globalisasi.

Perdana Menteri sepatutnya membuat pengumuman dasar mengenai apa yang sedang kerajaan lakukan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia supaya kita boleh mempunyai tenaga kerja yang mempunyai kemahiran tinggi dalam berbahasa Inggeris.

Baca juga ‘Saya telah diserang seorang profesor kangkung hari ini’

Baca juga Impian nak jadi haiwan tercapai, habiskan RM690,000 untuk kostum anjing ultra-realistik