Malaysia Dateline

Apa mesej sebalik Mahathir dianggap presiden Umno, BN dilihat masih berkuasa?

PRK Tanjung Piai dianggap lebih daripada sekadar pilihan raya kecil. Ia mempunyai makna besar. Ada yang melihatnya sebagai referendum rakyat terhadap prestasi kerajaan baharu. Tidak kurang menilai kesan kerjasama politik Umno-Pas melalui keputusannya malam 16 November nanti. Malah ada pihak mengukur tahap sokongan masyarakat Cina kepada DAP; apakah sudah menjunam atau MCA masih ada masa depan lagi?

Saya memang penyokong tegar proses pembaharuan politik pasca-PRU14. Benar seperti judul buku Ahmad Lutfi Othman, Revolusi Tanpa Darah. Malaysia diselamatkan daripada terjunam ke gaung kemusnahan. Era enam dekad Perikatan-BN beralih secara aman dan licin kepada pemerintahan Pakatan Harapan (PH). Ia menjanjikan seribu satu perubahan. Agenda reformasi sedang dilaksanakan tahap demi tahap, peringkat demi peringkat.

Harapan dan impian menggunung rakyat sudah pasti cukup besar. Pembaharuan dijangka dapat mengatasi seribu satu masalah rakyat, dengan kadar masa yang cepat. Tidak ramai yang dapat bersabar. Mereka mahu kerajaan PH mengotakan segala janji, biarpun menyedari BN baru 18 bulan disingkirkan daripada takhta kuasa.

Komitmen tinggi ditunjukkan pemimpin utama Pakatan Harapan semasa berkempen.

Bukan satu dosa pun untuk rakyat menuntut janji atau manifesto pilihan raya. Mereka berhak mendesak dan menggesa proses perubahan dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hidup. Dan tentu sekali kerajaan pula berpeluang menjelaskan setiap halangan atau cabaran yang memungkinkan jika ada agenda pembaharuan tertangguh.

Selama berdekad lamanya pemimpin-pemimpin PH, khususnya daripada DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH), dan juga PKR dinafikan ruang dan peluang untuk muncul di media awam, terutama televisyen. Kini atas status parti pemerintah, tentu sekali sekatan tersebut mansuh secara automatik. Malah, selari dengan sikap terbuka kerajaan dan dasar-dasar yang lebih telus-demokratik, pembangkang pun dapat akses kepada media.

Bukan rahsia lagi, banyak pihak mengeluh dan resah apabila tidak sedikit polisi awam dan program kerajaan tidak diketahui atau difahami majoriti rakyat. Seolah-olah sistem penyampaian dihambat pelbagai masalah dalaman. Sehingga pernah timbul dakwaan terdapat sabotaj daripada pegawai-pegawai kerajaan tertentu yang dikatakan sengaja membantutkan aliran maklumat ke bawah. Masa sama, dibisikkan kalimat “deep state”, satu pengkhianatan terhadap aspirasi rakyat terbanyak.

Bagaimanapun dakwaan itu tidak pernah dibuktikan. Mungkin ada sungutan segelintir kecil pegawai tinggi kerajaan yang bersikap acuh tak acuh untuk menjayakan proses penambahbaikan dalam pentadbiran kerajaan baharu. Ditambah buruk dengan anggota pentadbiran, khususnya di peringkat menteri, yang rata-rata kurang atau tiada pengalaman. Mereka masih baharu dengan selok-belok pentadbiran dan pengurusan, serta tidak cuba menguasai bidang tugas masing-masing dengan pantas.

Tentu sekali medan pilihan raya kecil seperti di Tanjung Piai ini, menjadi gelanggang untuk menguji apakah sistem penyampaian berjalan dengan baik atau di sebaliknya? Apakah dasar atau program baharu kerajaan diterima baik oleh penduduk setempat? Ataupun mungkin masih ramai rakyat yang jauh di pedalaman terus keliru, malah tidak mengetahui bahawa kerajaan sudah bertukar tangan?

Salahuddin Ayub, anak kelahiran Tanjung Piai, giat berkempen dari rumah ke rumah, membantu calon PH.

Menteri Pertanian dan Asas Tani, Salahuddin Ayub, yang merupakan anak jati Kg Serkat, Tanjung Piai, mendedahkan penemuan peribadinya semasa berkempen. Masih ada pengundi yang beranggapan kerajaan yang memerintah hari ini daripada BN.

Timbalan Presiden AMANAH itu berkata, pengundi berkenaan mengakui pembaharuan positif yang diperkenal kerajaan dan bertekad untuk menyokong parti pemerintah pada 16 November ini. Namun begitu, pengundi terbabit menunjukkan simbol dacing sebagai lambang parti pemerintah. Maknanya, beliau menyangka BN masih menjadi kerajaan.

Ini mengingatkan Salahuddin tentang situasi hampir sama dengan kempen PRK Hulu Selangor, Mac 2010, yang diadakan tidak lama selepas BN dikalahkan buat pertama kali di Selangor pada 2008. Ada penduduk yang turut menyokong pembaharuan kerajaan negeri, dengan pelbagai inisiatif yang menguntungkan rakyat, di waktu itu dan berjanji akan memangkah dacing kerana beranggapan Selangor masih di bawah BN! Keputusan PRK itu, BN melalui calon MIC menang dan wakil Pakatan Rakyat (PR), calon PKR kalah.

Mungkin pengundi yang terkhilaf itu tidak ramai bilangannya, namun fenomena seumpama ini tidak seharusnya berlaku. Ia menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena, terutama dalam konteks penerangan ke peringkat akar umbi. Mungkin lebih banyak kelemahan dan ketempangan yang belum terdedah lagi, yang juga membayangkan agensi media kerajaan gagal berfungsi dengan baik.

Pendedahan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad lebih mengejutkan lagi. Masih ada penduduk di Tanjung Piai yang merasakan beliau adalah presiden Umno. Mungkin mereka juga beranggapan Umno-BN masih menjadi kerajaan persekutuan dan negeri.

“Terdapat bukti ramai juga pengundi yang sudah bertukar pendirian mereka. Kalau dulu menyokong BN sekarang ramai menyokong PH.

“(Bagaimanapun) masih ada penduduk di sana yang fikir saya ini Dr Mahathir Mohamad adalah presiden Umno. Yang ini kita kena padamlah.

“Saya bukan presiden Umno lagi, walaupun jadi presiden 22 tahun. Saya ini pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan sebagai pengerusi Pakatan Harapan saya dilantik sebagai perdana menteri kerajaan PH,” kata Dr Mahathir kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu di Putrajaya malam 11 November lalu.

PRK Tanjung Piai boleh mengukur sejauh mana impak kerjasama politik BN-Pas menjelang PRU15.

Boleh diandaikan, jika hal sejelas dan seterang itu rakyat boleh terlepas pandang, apatah lagi isu-isu atau agenda pembaharuan yang lebih kompleks dan rumit. Juga lebih sukar untuk memahamkan rakyat tentang jenayah terancang pemimpin kerajaan BN terdahulu, misalnya dalam kes 1MDB dan salah guna kuasa yang lain. Belum dikira usaha kerajaan PH untuk memulihkan Tabung Haji, Felda dan sebagainya. Mungkin rakyat lebih kabur dengan konsep Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin.

Sudah tentu sebahagian rakyat lebih mudah celaru-keliru dengan kempen agresif pembangkang Umno-Pas, terutama melalui siri ceramah dan jelajah mereka. Diburukkan lagi dengan pengisian bermotif politik dalam kuliah-kuliah agama di surau dan masjid. Tertanamlah dakyah bahawa “Islam terancam” dan “Melayu terpinggir” di bawah kerajaan PH. Terpasaklah kepercayaan palsu bahawa DAP yang didakwa anti-Islam itu menguasai Putrajaya.

Saya tidak pasti sejauh mana pengaruh media tradisi, terutama televisyen dan radio, kepada masyarakat awam. Dan bagaimana pula ia diuruskan di bawah kerajaan baharu ini, khususnya propaganda politik mereka. Apakah agensi penerangan itu tidak sensitif dengan perkembangan sekeliling atau terdapat cabaran dalaman yang gagal ditangani sebaiknya oleh menteri terbabit?

Seorang teman yang aktif dalam dunia promosi mengingatkan saya: “PH usah abaikan peranan billboard atau papan iklan bersaiz besar yang dipasang di lokasi strategik dan di laluan yang trafiknya agak padat. Peruntukkan bajet yang mencukupi.” Dia juga berpesan agar dioptimumkan penggunaan media sosial oleh setiap kementerian, selain tidak meremehkan promosi konvensional. “Jangan tunggu ada wakil rakyat mati atau PRK, baru kelam-kabut …,” ujarnya lagi.

Keputusan PRK Tanjung Piai ini dianggap penting dan boleh menjadi momentum pencetus gelombang baharu menjelang PRU15, namun ia juga kesempatan terbaik memperbaiki sisi-sisi negatif jentera penerangan atau peluang untuk bingkas memenangi perang persepsi.