Malaysia Dateline

Apa Motif dakwa Guan Eng ketika PRN Sabah?

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mempersoalkan motif pendakwaan yang dilakukan terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sedang berlangsung.

Mohamad mendakwa, pendakwaan yang dilakukan terhadap bekas Menteri Kewangan itu sebagai usaha untuk menghalang beliau mengetuai gerakerja pilihanraya DAP di Sabah.

“Memerangi rasuah adalah agenda utama Pakatan Harapan dan Index Persepsi Rasuah (CPI) jatuh mendadak dibawah pemerintahan PH iaitu dari kedudukan ke 61 kepada 51 negara paling tidak rasuah.

“Sesiapa sahaja yang terbukti terlibat dengan gejala tersebut boleh didakwa.

“Namun dalam kes Lim Guan Eng, adakah pendakwaan ketika musim pilihanraya ini satu usaha untuk menghalang beliau mengetuai kempen pilihanraya DAP di Sabah?” soalnya.

Terkini, Guan Eng yang juga bekas ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa atas dua pertuduhan menyeleweng tanah kerajaan bernilai RM208.7 juta kepada dua syarikat.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Lim disabitkan tuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu, iaitu menyalahgunakan harta dengan curang, memperuntukkan hukuman penjara 5 tahun, sebatan, dan denda jika disabit kesalahan.

Beliau dituduh telah menyebabkan Pendaftar Hak milik Tanah Pulau Pinang melupuskan tanah milik kerajaan negeri di Tanjong Pinang (Lot 702 Seksyen 1) bernilai RM135,086,094 kepada Ewein Zenith Sdn Bhd; dan tanah milik kerajaan negeri di Tanjong Pinang (Lot 10012 Seksyen 1) bernilai RM73,668,986 kepada Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Memetik portal Free Malaysia Today, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin meminta jaminan RM1 juta bagi 3 tuduhan rasuah termasuk yang sebelum ini.

Ditemui pemberita di luar mahkamah, Shaharuddin memberitahu tuduhan hari ini merupakan tuduhan terakhir terhadap Lim.