Malaysia Dateline

Apa motif dakwaan Thomas, tanya Exco Pemuda Umno

Exco Pergerakan Pemuda Umno, Aizat Azam mempersoalkan motif Tan Sri Tommy Thomas yang membuat pelbagai dakwaan tentang urusan pemerintahan dalam buku terbitannya, terutama selepas meletakkan jawatan.

AIZAT AZAM

Beliau berkata, Thomas sepatutnya tahu tentang kewajipan kerahsiaan yang perlu dipatuhinya setiap masa bukan sahaja ketika memegang jawatan sebagai Peguam Negara, tetapi juga selepas beliau meletakkan jawatan.

Bahkan kata Aizat, sebarang urusan pentadbiran tidak boleh didedahkan kepada orang ramai selepas perletakan jawatan melainkan sekiranya ia adalah berkenaan dengan tindakan-tindakan yang menyalahi undang-undang.

“Namun begitu, Tommy dalam buku tersebut telah pun membuat dakwaan-dakwaan tentang urusan pemerintahan yang kononnya berlaku semasa beliau menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara.

“Urusan pemerintahan ini adalah urusan yang sepatutnya menjadi rahsia rasmi yang tidak seharusnya didedahkan kepada orang awam (walaupun ianya benar sekalipun, yang mana adalah dinafikan),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Aizat yang juga pengamal undang-undang itu berkata, Thomas melalui bukunya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’, telah membuat beberapa dakwaan tidak selaras dengan kewajipan kerahsiaan sebagai seorang yang pernah memegang jawatan sebagai Peguam Negara.

Menurutnya juga, Thomas seharusnya perlu terus meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara jika benar wujudnya campur tangan badan Eksekutif dan dakwaanya tentang campur tangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu pendakwah terkenal, Zakir Naik.

Beliau berkata, Thomas telah gagal memastikan campur tangan badan Eksekutif dalam perlaksanaan tanggungjawabnya sepertimana yang boleh dilihat dalam dakwaan beliau di dalam buku tersebut.

Dalam buku tersebut, Thomas mendakwa terdapat campur tangan Tun Mahathir dalam isu Zakir Naik di mana nasihatnya kepada Tun berkenaan dengan prosiding ekstradisi dan pengusiran Zakir Naik, tidak diterima dan telah ditolak oleh Tun pada masa itu.

“Pertamanya, Tommy tidak perlu mendapatkan nasihat atau kebenaran Tun sekiranya Tommy benar-benar ingin meneruskan dengan proses ‘expulsion’ Zakir Naik daripada Negara kita dan beliau boleh terus menjalankan proses tersebut. Namun, ini tidak dilakukan.

“Keduanya, sekiranya Tommy berpandangan bahawa Zakir Naik wajar diusir keluar daripada negara kita dan nasihat beliau kepada Tun Mahathir bagi tujuan tersebut mesti dan diterima, Tommy sepatutnya memegang kepada prinsipnya dan meletakkan jawatannya sejurus Tun menolak nasihatnya.

“Namun, ini tidak dilakukan Tommy walaupun beliau mendakwa bahawa terdapat campur tangan daripada Tun seperti yang dinyatakan, yang mana juga menimbulkan banyak persoalan berkenaan kebenaran, ketelusan serta kesahihan dakwaannya,” katanya lagi.

Pada masa sama beliau berkata, dakwaan Thomas terhadap ketidakcekapan pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara juga adalah amat serius dan beliau perlu memohon maaf kerana membuat dakwaan yang tidak berasas tersebut.

Jelasnya, Thomas sebagai seorang peguam sepatutnya menulis dengan lebih ilmiah dan bukan bertaraf komik atau satira politik semata-mata, yang mungkin dengan tujuan untuk mencari publisiti murahan bagi menutup segala kelemahan semasa menjadi Peguam Negara.