Apa muslihat di sebalik membela ‘orang kita’?

Apa muslihat di sebalik membela ‘orang kita’?

Hasrat untuk menjaga kepentingan golongan bumiputera yang kurang bernasib baik khususnya yang jauh ketinggalan adalah tindakan yang mulia dan baik niatnya. Apatah lagi jika sebahagian besar mereka yang diamanahkan mentadbir dan mengurus polisi serta perlaksanaan dasar ini adalah dari golongan bumiputera juga.

Dengan itu diharap mereka akan menjaga dengan baik kumpulan yang seagama dan sebangsa dengan mereka termasuk juga semua yang lain yang kurang bernasib baik.

Namun malangnya apabila diberi kepercayaan mengurus organisasi seperti Felda, Mara dan Tabung Haji (PH), mereka yang berkenaan telah “gelap mata” apabila melihat betapa kayanya bumi bertuah Malaysia ini.

Terlintas pula dalam pemikiran mereka yang mereka juga adalah bumiputera yang “berjuang demi Agama dan Bangsa” yang berhak “dibantu”. Bisikan ini telah mendorong mereka ini untuk “membantu diri sendiri” – help themself, dengan menyalahgunakan kuasa yang dimiliki.

Dengan justifikasi ini, mereka mengambil peluang kuasa yang dimiliki untuk “memperkayakan diri sendiri”, sambil juga membantu bumiputera yang pada asalnya adalah kumpulan yang patut dibela, mungkin sambil menyelam minum air.

Masalahnya, dalam usaha mereka membantu diri sendiri dengan memperkayakan diri, organisasi dan syarikat terlibat diabaikan kepentingannya dan terus rugi.

Ini bukan kes pagar makan padi, tetapi kes padi makan padi! Ini adalah sejenis cannibalism – makan jenis sendiri!

Ini satu sikap yang terhina yang haiwan pun tidak tergamak melakukan atas spesis mereka sendiri!

Loading...

Dari semua aspek perundangan dan juga moral kemanusiaan, ini adalah kesalahan yang besar. Kenapa ini berlaku secara berterusan sebelum 9 Mei 2018?

Sikap memberi layanan keistemewaan bukan pada tempatnya adalah punca kenapa ia berlaku secara berterusan.

Keistimewaan bantuan kepada mana mana pihak hanyalah patut diberikan kepada golongan yang betul betul memerlukan, iaitu mereka yang lemah serta susah.

Apabila pihak yang berkuasa dan diberi kepercayaan melakukan kesalahan pecah amanah mereka patut dihukum sekeras- kerasnya dan bukan diberi keistemewaan dan kelonggaran kerana mereka dari golongan “orang kita”!

Ada pula yang memberi justifikasi walaupun bersalah, yang bertambah kaya bukan orang lain tetapi “orang kita” juga! Inilah sikap yang merosakkan nilai orang kita dan negara yang berterusan menipu dan merompak .

Sikap menyanjung kekayaan semata-mata dan mengiakan setiap tindakan “orang kita” walaupun bersalah lebih dari nilai amanah dan keadilan kuatkuasa undang undanglah punca kerosakan negara dan “orang kita” sendiri.

Parti Islam Malaysia (Pas) sanggup meminta bekas Perdana Menteri Datu Seri Najib diberi peluang menghabiskan penggalnya walaupun terpalit skandal tebal di dalam dan di luar negara dalam isu 1MDB.

Sejarah melihat meningkat hutang 1MDB berlipat kali ganda dan puluhan dakwaan keatas “orang kita” ini dalam tempoh tersebut. Dalam tempoh yang sama Pimpinan Psd berkongsi pentas berkali-kali dengan bekas Perdana Menteri kerana dia adalah “orang kita”.

Penganti Najib juga sebagai Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi, seorang lagi “orang kita”, yang telah didakwa puluhan kesalahan di mahkamah juga dijulang tangannya dan dipeluk mesra di pentas terbuka oleh Presiden Pas.

Anehnya, ahli Parlimen, ahli Dun dan ahli ahli Umno sendiri berduyun-duyun meningalkan pemimpin-pemimpin “orang kita” ini yang sedang dijulang dan disanjung pimpinan tertinggi Pas.

Adakah pemimpin Pas begitu terdesak ingin berganding dengan perjuangan Melayu dokongan Umno sehingga nilai Islam dan moral sanggup diketepikan asalkan mereka “orang kita” ?

Adakah kerjasama Pas dan Umno demi perjuangan Islam dan Melayu atau lebih untuk menyelamatkan kelompok individu yang tertentu ?

Sudah sampai masanya konsep “orang kita” ini diketepikan dan pembelaan Islam dan Melayu yang memerlukan bantuan di utamakan.

Kerana itulah Islam menentang sikap Assobiyah – seperti konsep “orang kita” – sebaliknya Islam mengutamakan konsep Ramhatan lilAlamin – rahmat untuk semua.