Malaysia Dateline

Apa nasihat Mak Long kepada ahli AMANAH?

Anggota Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) warga emas, Salmiah Mat Jali adalah sosok wajib hadir dalam setiap kali Konvensyen Nasional AMANAH.

Sejak dalam Pas lagi, beliau yang mesra dikenali sebagai Mak Long, 68, tidak melepaskan peluang untuk hadir dalam Muktamar Tahunan parti secara berdikari.

Jika dahulunya menaiki motosikal ke lokasi muktamar, kini atas nasihat anak-anaknya, Mak Long datang dengan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan teksi.

Beliau juga antara individu terakhir dilihat meninggalkan lokasi Konvensyen Nasional 2019 AMANAH di tingkat 7 Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam baru-baru ini.

Ditanya tentang amalan pemakanannya melihatkan kecergasan Mak Long berjalan agak pantas sambil mengheret beg beroda usai konvensyen itu, beliau berkongsikan petua.

Ibu kepada lapan anak itu memberitahu telan sahaja tiga ulas kecil bawang putih yang sudah ditumbuk.

“Minum sama dengan air yang botol mineral kecil itu. Alhamdulillah. Itulah Mak Long amalkan.

“Badan pun tidak kebas. Tak payah sibuk habis duit beli mahal-mahal vitamin bawang putih.

“Badan kita ini banyak toksik sebab makan macam-macam. Makan pil vitamin itu hanya turun terus ke perut.

“Tapi makan bawang putih ini dia merebak ke seluruh darah, seluruh badan,” jelas bekas Timbalan Ketua AWAN Larut itu lagi.

Sambil ditemubual, Mak Long menjawab salam dan melayan beberapa anggota AWAN yang menegurnya termasuk dua perwakilan Norhayati Samion dan Rodziah Hasbullah, masing-masing dari Gerik dan Kampar.

Dalam masa sama, Mak Long menasihatkan ahli AMANAH khususnya penggerak AWAN agar meneruskan sokongan kepada saf pimpinan parti sesi 2019-2022 ini.

“Teruskan kita ahli AMANAH, ahli AWAN bekerja untuk parti, bekerja untuk rakyat. Dulu, kita bekerja kuat bangkang apa yang tidak betul kerajaan dulu buat.

“Sekarang, kita pula sudah jadi kerajaan. Tugas kitalah dari Cawangan, Kawasan, Negeri sampai ke Putrajaya perbetulkan kerajaan.

“Kita buat kerja itu semua kerana tanggungjawab yang Allah sudah beri. Semua itu untuk rakyat juga,” dipetik dari akhbar Mingguan Amanah.

Lima tahun lalu, ketika Mak Long ditemui semasa Muktamar Pas ke-60 di Batu Pahat pada 2014 yang menyaksikan adanya perwakilan membacakan doa laknat kepada pemimpin dengan paling teruk diserang ialah Mohamad Sabu, Mak Long juga menyuarakan isi hatinya:

“Mak Long sedih tengok ada pimpinan anak muda macam nak laga-lagakan pimpinan tertinggi. Macam dah bercakap bagi pihak Umno. Mak Long tak sukalah,” tegasnya ketika itu.

Mak Long ditemani AWAN Kelantan adalah yang terakhir meninggalkan dewan konvensyen.