Apa orang Kuale mahu?

Apa orang Kuale mahu?

Kalau sudah sampai Kuala Kangsar, tidak sah kalau tak pekena cendol dan laksa.

Jadi, usai penamaan calon  Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar semalam, saya berkesempatan meronda-ronda bandar kecil ini mencari laksa dan cendol, sehari sebelum berpuasa, eloklah tu.

Apa istimewanya laksa di Kuala Kangsar dengan laksa di tempat lain? Beza laksa di sini ialah bahan yang digunakan. Barulah saya tahu, menurut Kak Su, laksa Kuala Kangsar dibuat dari tepung gandum dan bukannya tepung beras seperti laksa yang lain. Jadi, rasanya pun sedikit berbeza.

“Laksa ni akak buat sendiri, tak sama dengan laksa putih tu. Akak guna tepung gandum, campur garam dan minyak sikit, lepas tu uli,” kata Kak Su.

Menurut ibu berusia awal 50-an ini, beliau sudahpun berniaga laksa di Kuala Kangsar sejak 15 tahun lalu. Perniagaan laksa yang diusahakan mendapat sambutan baik dari masyarakat setempat mahupun pelawat dari luar.

“Sehari akak boleh jual dalam 30 kilo,” ujarnya kepada saya.

“Saya rasa kak, masa pilihanraya ni kena tambah banyak kilo lagilah,” sambut saya mencelah.

“Eloklah tu, bila lagi nak macam ni, jarang-jarang pilihanraya, satu Malaysia tumpu kat sini,” sampuk temannya Kak N sambal memotong bawang. Kak Su pula sibuk melayan pelangan yang baru duduk.

Saya tersenyum mendengar ngomel Kak N, mengangguk. Sebagaimana peniaga-peniaga kecil yang lain, mereka gigih berniaga. Sesekali sempat juga saya bertanya pendapat mereka mengenai politik.

Calon Amanah ketika berkempen di Kuale“Adik ni dari NGO kan? “ soal Kak N bila melihat saya mencatit sesuatu di buku nota kecil saya sambal memerhati t-shirt yang saya pakai yang tertera sloga “Never Surrender” yang merupakan t-shirt yang dibikin komuniti Pangrok Sulap.

Saya tidak pula menjawab ya atau tak, saya beritahu kak N yang saya datang untuk buat sedikit tinjauan pendapat masyarakat tempatan sempena PRK Kuala Kangsar. Mungkin jika saya cakap saya dari parti Roket, mereka akan lebih ‘segan’ nak berbual.

“Akak rasa sebagai peniaga, apa masalah yang akak hadapi? Bagaimana dengan majlis perbandaran?” soal saya.

“Dengan majlis memang tak ada masalah, janji ada lesen. Harga barang naik!” pantas Kak Su jawab.

Kata Kak Su, dalam tiga bulan lalu, sekilo laksa dijual RM12 sahaja, sekarang harganya sudah RM13. Kenaikan ini termasuklah harga cili burung.

Sambil kami bersembang, pelanggan lain yang ada turut mendengar celoteh kami bertiga sambal tersenyum-senyum.

“Dulu adalah cuba tanam tapi tak jadi,” seloroh Kak Su. “Tapi itulah, kita ni orang biasa, komplen macam mana pun, kalau nak naik, dia naik,” sambungnya.

“Tapi yang komplen tu tak daftar mengundi…” sahut Kak N.

Saya ketawa mendengarnya. Kak Su dan Kak N nampaknya memang peduli dengan isu-isu semasa. Siapa kata orang kampung tak peduli? Mereka tahu dan mereka faham apa yang berlaku.

“Okay kak, akak rasalah, pilihanraya kali ni, calon macam mana akak akan pilih?” soal saya. Sengaja saya tidak mahu bertanya mereka akan pilih parti mana. Sebab, sebelum ini, saya pernah dijawab responden “undi adalah rahsia”.  Jadi, kurang elok pula kalua ditanya apa pilihan mereka.

“Kita nak calon yang boleh buat kerja,” jawab Kak Su.

“Kali ni kita ada empat penjuru. BN, PAS, Amanah dan Bebas. Akak rasa macam mana dengan calon-calon parti ini?” soal saya.

Kak Su dan Kak N bagai tak menyerah melayan soalan-soalan saya. Cuma saya agak terkejut bila Kak Su jawab beliau kurang yakin dengan calon wanita.

“Kenapa pula kak?” saya kehairanan.

“Calon wanita mudah dipergunakan, bos suruh sain, dia sain…” jawab Kak Su selamba.

Secara peribadi, pandangan Kak Su itu agak mengejutkan saya dan stereotaip. Mungkin orang lama sepertinya lebih faham keadaan politik di kawasannya atau beliau pernah melalui pengalamannya sendiri.

Tambah Kak Su lagi, dia lebih senang dengan calon yang boleh menegur bos dan tidak sekadar ‘yes bos’.

Saya mengangguk-angguk. Begitu dengan Kak N, senyum mengangguk. Semangkuk laksa habis saya hirup. Saya tambah sekilo lagi untuk dibawa pulang makan bersahur.

Sambil mengucapkan terima kasih dan selamat berpuasa kepada Kak Su dan Kak N, saya kira, Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar ini mungkin memberi sedikit kejutan walaupun dalam pusingan pertama ini, kita melihat bendera BN dan PAS lebih banyak dari Amanah.  Hanya ‘orang Kuale’ sahaja tahu apa yang mereka mahukan. –Roketkini.com

*Nota: Kak Su dan Kak N bukan nama sebenar.

CATEGORIES
TAGS