Malaysia Dateline

Apa Pas dapat bantu Umno di Perlis, tanya Bersatu

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan apakah yang Pas perolehi dengan membantu Umno di Perlis sedangkan parti itu (Umno) menurutnya jelas sedang lumpuh.

Kata beliau, beberapa sepanduk sedang tersebar di Perlis mengenai demonstrasi menolak ICERD.

Sepanduk-sepanduk itu katanya, meletakkan sebagai gambar utama Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Dato Seri Zahid Hamidi mengajak rakyat berhimpun. Antara penganjur bersama ialah Umno dan Pas. Hubungan intim Umno dan Pas jelas bukan lagi perkara yang disembunyikan.

“Bagi Perlis, adalah malang bagi penyokong Pas kerana mereka memperkukuh Umno Perlis yang jelas sedang lumpuh.

“Para pemimpin atasan parti Pas mungkin mendapat faedah apabila menyokong Umno Perlis yang dipimpin oleh Datuk Seri Azlan Man.

“Tetapi apa yang diperolehi oleh pejuang Pas yang ikhlas istiqamah dalam perjuangan apabila mereka memperkukuh kedudukan pemimpin Umno yang semakin tidak relevan ini?” kata Setiausaha Bersatu Negeri Perlis itu dalam satu kenyataan semalam.

Ujar Wan Saiful, ahli Umno juga perlu bertanya apa faedahnya menyokong himpunan ini.

“Mungkin hasil daripada kepimpinan Azlan Man yang gagal, mereka tertinggal bas bahawa ICERD telahpun ditolak oleh kerajaan Malaysia. Tidakkah memalukan apabila sebuah parti pemerintah negeri berhimpun menolak isu yang sebenarnya memang telah pun ditolak?” tambah beliau.

Beliau menasihatkan kepada penganjur agar berfikir masak-masak mengenai apa yang diperlukan oleh negeri Perlis.

Negeri Perlis katanya lagi, memerlukan pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan.

Justeru kata beliau, janganlah tertipu dengan agenda Umno Perlis di bawah Azlan Man yang cuba mengalih perhatian daripada kegagalan mereka menjana idea pembangunan untuk negeri.