Apa perlunya anak Malaysia pentingkan keturunan?

Apa perlunya anak Malaysia pentingkan keturunan?

Mengapakah anak kelahiran Malaysia masih mementingkan keturunan mereka? Sama ada daripada keturanan Jawa, India, Cina, Minang, Arab, Pakistan, Bugis atau apa saja? Bukankah mereka semuanya warganegara Malaysia dan yang berbangsa Melayu, serta tidak pula mereka dikenali dengan keturunan mereka? Cubalah lihat maklumat pada kad pengenalan mereka? Apa yang tertulis dalam kad pengenalan itu? Adakah maklumat tentang keturunan?

Tempoh hari, berbagai-bagai komen dan desakan telah disuarakan oleh golungan yang mengaku diri mereka daripada keturunan Bugis yang mahukan Tun Dr Mahathir memohon maaf atas alasan Tun Mahathir telah melabelkan orang-orang Bugis sebagai lanun dan perompak.

Ada juga satu pihak yang mahukan Tun Mahathir didakwa, kononnya telah mengeluarkan kata-kata menghina kaum Bugis. Manakala, seorang menteri kanan Umno yang telah mengaitkan isu ini dengan seorang pemimpin kanan Indonesia dari keturunan Bugis, yang dikatakan telah marah dengan kenyataan Tun Mahathir itu.

Saya ingin bertanya kepada mereka ini, mengapa apabila seorang menteri kanan Umno menyindir Tun Mahathir itu dari keturunan India, tidak ada desakan supaya menteri kanan Umno itu didakwa. Malahan, Tun Mahathir telah menerima sindiran itu dengan penuh kesabaran, dan meminta menteri kanan Umno tersebut menunjukkan kad pengenalan lama Tun Mahathir yang ada mencatakan nama dan keturunan Tun Mahathir itu dari India. Hingga sekarang, tidak ada sebarang bukti yang dapat ditunjukkan oleh menteri kanan UMNO tersebut. Bukankah ini satu penipuan?

Bagi saya, ini semua mainan politik yang tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada kesatuan dan perpaduan bangsa Melayu di negara ini. Adakah kita yang berasal daripada pelbagai keturunan yang lahir di negara ini tidak lagi mahu menganggap diri kita sebagai bangsa Melayu? Adakah kita mahukan diri kita dikenali melalui keturunan kita?

Kalau itulah yang kita mahu, maka saya kuatir bangsa Melayu akan pupus di muka bumi Malaysia ini disebabkan ketiadaan kesatuan dan perpaduan bangsa Melayu.

Kami dari Persatuan Patriot Kebangsaan tidak rela keturunan menjadi isu yang boleh memecah-belahkan perpaduan bangsa Malaysia, khasnya daripada kalangan bangsa Melayu. Begitu juga, kami tidak rela isu perkauman dan agama diapi-apikan oleh mana-mana pihak yang akan membawa perpecahan kepada perpaduan dan keharmonian rakyat.

Apa ertinya Satu Malaysia yang menjadi laungan kuat para pemimpin Umno sekiranya mereka sendiri yang menjadi punca perbalahan dan perpecahan bangsa Malaysia? Satu Malaysia tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya kita tidak berani menghakiskan sikap taksub bangsa Melayu yang mementingkan keturunan mereka. Yang penting sekali, di dunia globalisasi yang semakin rencam, dan cabaran-cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu, kita perlu memikirkan periuk nasi beribu-ribu anak muda kita yang sukar mendapat pekerjaan. Mereka adalah harta warisan ibu pertiwi. Satu Malaysia penting menyatukan semua warganegara, memupuk perpaduan, demi cinta akan pertiwi. Satu Malaysia seharusnya sinonim dengan perpaduan rakyat pelbagai bangsa dan keturunan.

* Penulis  adalah Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan