Malaysia Dateline

Apa pula sesudah teater dalam hujan

Dinsman merenung bekas-bekas di Padang Merbok KL yang “disawahpadikan”nya untuk keperluan pementasan TdSP MUDD, tiga hari selepas berakhirnya pementasan.

Sudah tiga minggu berlalu sejak “Pementasan Dalam Hujan Teater di Sawah Padi Muzika UdaDanDara” di Padang Merbok KL, 23-26 Oktober lalu. Ada macam-macam kesan daripada pementasan itu. Terima kasih kepada semua yang terlibat dan semua yang hadir menonton dan semua yang mengikuti perkembangaan peristiwa teater ini.

Ya, apa pula selepas ini? Ada macam-macam cadangan dikemukakan kepada saya. Dan saya sendiri pun ada juga cadangan, yang sudah lama sebenarnya, dan belum juga menjadi, dan kini ia timbul kembali meminta perhatian.

Pertamanya tentulah cadangan mementaskan lagi Teater di Sawah Padi itu di tempat-tempat lain pula. Ada sebuah kerajaan negeri yang telahpun mengajak saya berunding bagaimanakah kemungkinan membuat Teater di Sawah Padi ini di negeri berkenaan, yakni betul-betul di dalam petak sawah padi di negeri itu, (sepertimana telah kita buat di Parit Dua Barat, Sabak Bernam, Ogos 2017).

Seorang aktivis muda teater, Fairul Pujangga mencadangkan TdSP MUDD dipentaskan pula di Stadium Bukit Jalil, dan malah mencadangkan watak Alang Bakhil itu masuk ke pentas dengan menaiki helikopter (di Sabak Bernam dulu watak itu masuk dengan menaiki kereta Navara, dan terus berlakon di atas kereta itu).

Dinsman bersama cucunya (yang rindu hendak berlakon lagi setelah berlakon dalam TdSP MUDD) meninjau Padang Merbok yang dikatakan “rosak” akibat penggunaan jerami yang banyak dalam teaternya.

Cadangan Fairul itu disambut oleh beberapa orang kawan-kawan, yang menambah cadangan itu begitu-begini, tetapi belum ada keputusan dibuat.

Dan ada beberapa cadangan lagi, yang saya rasa elok dirahsiakan dan tidak diceritakan dulu di sini. Namun cadangan lama pun ada juga beberapa lagi yang masih belum dilaksanakan, seperti teater di dalam sungai (yang selalu ditanya oleh sahabat-sahabat di Indonesia, kerana mereka mahu menontonnya).

Sahabat saya Tan Sri Nordin Kardi pula (Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah), seorang pendaki gunung, pernah mencadangkan untuk buat “teater di atas gunung”, istimewa untuk peminat-peminat mendaki gunung.

Selain itu ada dua lagi skrip yang telah lama saya siapkan tetapi belum dipentaskan hingga sekarang, iaitu “Siapakah Takutkan Amerika?” dan “Teater Nabi Yusuf”. Skrip Teater Nabi Yusuf itu telah beberapa kali dirancang untuk dipentaskan tetapi oleh sebab-sebab tertantu ia tertunda dan tertunda hingga belum juga dipentaskan.

Manakala cadangan saya sendiri, yang sudah lama tetapi belum menjadi, itu ialah saya ingin berhenti membuat teater. Ya, serius! Berhenti membuat teater untuk memberi tumpuan kepada perkara lain yang saya fikir saya perlu melakukannya.

Sebenarnya sehari selepas selesai pementasan TdSP MUDD baru-baru ini, iaitu pada awal subuh 28 Oktober saya ada penerbangan ke Pekanbaru Indonesia bersama beberapa orang kawan, untuk kerja-kerja persiapan Festival Teater Islam Dunia anjuran Pusat Teater Islam Dunia (PTID) yang saya sendiri menjadi Pengerusinya.

Saya tidak ikut ke Pekanbaru 28 Oktober itu (pembatalan saat akhir), kerana masalah kesihatan. Dan apabila Yassin Salleh pulang dari Pekanbaru, saya menemuinya dan menyatakan hasrat untuk tidak ikut serta membawa produksi teater saya ke festival itu (antaranya ini adalah sebahagian dari rancangan untuk berhenti berteater).

Yassin Salleh membantah keras hasrat saya itu dengan hujah-hujahnya yang tak dapat saya patahkan. (Saya tidak berhujah untuk berhenti berteater tetapi saya berhujah dengan rasional dan faktor lain). Maka sekarang saya terpaksa mempersiapkan suatu produksi baru untuk di bawa ke festival di Pekanbaru itu (dibuat di kampus Universitas Abdurrab).

Kebetulan pula teater yang akan saya bawa ke Festival Teater Islam Dunia itu ialah teater yang mempersoalkan kewajaran seorang pemimpin Islam memegang jawatan Perdana Menteri sebuah negara ketika dia sudah melangkaui usia 93 tahun.

Dalam teater “Apa Lagi Yang Bapa Mahu” (ALYBM) ini, anak perempuan Perdana Menteri itu sendiri, Regina, mempersoalkan kewajaran bapanya untuk meneruskan khidmat sebagai Perdana Menteri. Malah Regina mencadangkan kepada bapanya supaya meletakkan jawatan.

Apakah alasan, hujah dan rasional yang dikemukakan oleh Regina? Hujah dan rasional Regina ialah usia. Dia meminta bapanya jangan lagi menjadi PM kerana usia bapanya sudah melewati usia manusia kebanyakan, dan dia berpendapat bapanya perlu menggunakan baki usianya itu untuk kerja-kerja keagamaan.

Sepotong ayat al-Quran yang selalu diulang-ulang oleh Regina sebagai asas pemikiran dan hujahnya ialah ayat dari surah Ar-Rahman, iaitu “Fabi-aiyi aalaa-i rabbikumaa tukazzibaan” – “Nikmat Tuhanmu mana lagi mahu kamu dustakan?”

Poster Festival Teater Islam Dunia di Pekanbaru, Indonesia, 13 Disember ini.

Regina beranggapan bapanya tidak mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan kepadanya, sekiranya bapanya terus bersibuk dengan urusan-urusan kuasa dan pentadbiran negara.

Maka saya terfikir – tidakkah alasan di dalam ALYBM itu juga terkena ke atas diri saya, yakni saya masih sibuk berteater ketika usia sudah tua 70 tahun, yang dalam masa sama saya sendiri sedar ada banyak perkara yang dituntut oleh agama tidak saya laksanakan disebabkan tumpuan saya masih kepada aktiviti teater.

Persoalannya – apakah teater menghalang saya menunaikan beberapa tuntutan agama, disebabkan saya bersibuk dengan kerja-kerja teater? Bukankah saya sering juga berhujah mengatakan teater yang saya libatkan diri adalah teater yang dapat mendekatkan diri kepada Tuhan?

Ya, ini suatu dilema. Berteater terus atau berhenti berteater kerana usia sudah 70 tahun, bagi memberi tumpuan kepada hal-hal keagamaan.

Barangkali ini sebenarnya adalah dilema peribadi. Tetapi jawapan dari sudut Islam sepatutnya diperolehi juga, terutamanya kerana saya dan kawan-kawan yang menubuhkan PTID mahu mendapatkan jawapan Islam kepada segala masalah dan persoalan dalam teater.