Malaysia Dateline

Apa pun berlaku pastikan DAP tidak berkuasa, kata Pesuruhjaya Pas Perak

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria hari ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berkongsikan poster (gambar bawah) Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang bersila, Razman turut menyebut tentang DAP.

“Apa pun berlaku pastikan: 1. DAP tidak berkuasa.

“2. Pemisahan kuasa diantara Kehakiman, Eksekutif dan perundangan. Tidak berlaku pendakwaan terpilih dan tiada kes gugur ditengah perbicaraan,” katanya dalam hantaran di Facebook lewat tengah malam tadi.

Ahli Dewan Undangan (Adun) Gunung Semanggol itu turut menyenaraikan dua lagi hujah sokongannya kepada kerajaan ‘tebuk atap’ seperti pernah disebut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Hapuskan rasuah sehingga akar umbi” dan “Rakyat cerdik faham agama dalam soal memilih pemimpin”, tulis Razman.

Exco Perladangan, Pertanian dan Sekuriti Makanan berkenaan juga menegaskan agama, bangsa dan tanah air tidak terancam jika PN berkuasa.

“InsyaAllah, negara tidak tergadai, agama tidak terhapus dan bangsa tidak terhina di bumi sendiri,” tambah bekas pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu lagi.

Untuk rekod, Perak mempunyai 59 Adun yang terdiri daripada Barisan Nasional 25, Bersatu (5), Pas (3), DAP (16), AMANAH (5), PKR (3) serta masing-masing satu Gerakan dan Bebas.

DAP memenangi kesemua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi parti itu iaitu tujuh kerusi Parlimen dan 18 DUN pada PRU-14.

Bagaimanapun, Adun Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan Adun Buntong A Sivasubramaniam, kedua-duanya dari DAP, kemudiannya keluar dari parti itu dan menyertai Bersatu.