Malaysia Dateline

Apa pun boleh berlaku dalam PRK, kata Fahmi

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyifatkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (N.24) Semenyih, yang tidak memihak kepada Pakatan Harapan semalam sebagai ‘Anything Can Happen’.

Beliau berkata, kekalahan sesebuah parti dalam PRK adalah disebabkan ‘multifactorial’ atau mempunyai pelbagai faktor.

Mengulas lanjut katanya, kekalahan tidak hanya tertumpu kepada satu faktor, tetapi mempunyai pelbagai punca yang perlu diperhalusi.

“Dalam PRK ini, saya boleh katakan kekalahan terjadi dari segala sudut.

“Apa yang boleh saya jelaskan, faktor itu antaranya dari segi gerak kerja atau pun sokongan rakyat itu sendiri.

“Dulu masa Pilihan Raya Umum (PRU-14), saya pun tak tahu macam mana saya boleh menang, tetapi saya tetap bersyukur dan alhamdulillah akhirnya kemenangan memihak kepada saya,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Mengulas lanjut mengenai PRK Semenyih, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berpendapat, kekurangan majoriti adalah perkara biasa.

Beliau berkata, kebiasaannya tidak semua penduduk akan keluar mengundi dalam PRK.

Semalam, Pegawai Pengurus PRK Dun Semenyih Datuk Mohd Sayuthi Bakar mengumumkan calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi meraih 19,780 undi.

Zakaria mendapat majoriti 1,914 undiĀ  menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (847 undi) dan dan calon Bebas iaitu Kuan Chee Heng (725 undi).

Pada PRU14 lalu penyandang Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor memperoleh 23,428 undi dengan majoriti 8,954 mengalahkan tiga pencabarnya dari BN, PSM dan Pas.