Malaysia Dateline

Apa rasionalnya Adham mahu beli 500 ambulans sistem tekanan negatif, soal PH

Pakatan Harapan (PH) mempersoal kewajaran Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba untuk membeli 500 buah ambulans yang mempunyai sistem tekanan negatif, penapis HEPA dan lampu UV, di saat negara mempunyai keperluan lain yang lebih mendesak dalam memberhentikan rantaian jangkitan Covid-19.

Untuk rekod, penapis udara HEPA merupakan sejenis penapis udara mekanikal yang berfungsi dengan memaksa udara melalui jaringan halus yang memerangkap zarah berbahaya seperti kuman dan sebagainya.

Jawatankuasa Kesihatan PH berkata, tindakan itu telah menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi, apatah lagi dikatakan ia akan menelan belanja sebesar RM300 juta.

“Apakah rasionalnya? Apakah pula data yang ditunjukkan dalam penyelenggaraan pesakit Covid-19 ini sehingga menyebabkan Dr Adham memutuskan untuk membeli ambulans jenis ini dan sebanyak itu?” soal PH dalam kenyataan bersama jawatankuasa tersebut.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ini adalah suatu pembaziran yang nyata dan tidak langsung membantu dalam penyelesaian krisis pandemik Covid-19 di Malaysia.

“Mengapakah kementerian memulakan tender kepada 500 ambulans ini dalam keadaan yang tergesa-gesa? Adakah keputusan ini telah mendapat kelulusan Kabinet?

“Apakah pelaksanaan tender ini dilakukan secara terbuka atau bagaimana? Dan syarikat mana pula yang telah berjaya memperolehnya?” soalnya lagi.

Katanya, alangkah baiknya jika wang sejumlah itu digunakan untuk melaksanakan perkara-perkara seperti, mengambil lebih ramai sukarelawan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta memperbanyakkan program ujian saringan secara besaran-besaran, supaya isolasi segera dapat dilaksanakan kepada mereka yang didapati positif.

Dengan cara ini katanya sudah tentu dapat membendung rebakan jangkitan dengan lebih efektif malah peruntukan sebesar itu juga pasti dapat digunakan untuk mempercepatkan pemberian vaksin.

Antaranya dengan cara, memperbanyakkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) supaya akses kepada vaksin menjadi lebih mudah, termasuk menggalakkan dan mempermudahkan klinik-klinik swasta beroperasi sebagai PPV di komuniti.

“Memperluaskan lagi klinik bergerak supaya vaksin dapat meliputi lebih ramai penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Memperbanyakkan lagi PPV pandu lalu (drive-thru) sebagai akses mudah bagi mereka di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar.

“Kita juga mendesak supaya menteri memberikan jawaban kepada persoalan-persoalan ini dengan lebih telus, jelas dan dengan kadar segera,” katanya.