Malaysia Dateline

Apa salah Naib Canselor UM?

Tindakan seorang graduan bernama Wong Yan Ke yang menunjukkan plakad dan menjerit supaya Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Dr Abdul Rahim Hashim agar meletak jawatan setelah graduan itu menerima skrol ijazahnya di majlis konvokesyen universiti tersebut baru-baru ini adalah perbuatan biadab dan memalukan imej institusi pengajian tinggi awam di negara ini.

Tuduhan-tuduhan graduan tersebut dalam plakadnya hanya bersifat dakwaan semata-mata yang diselubungi prasangka serta alergik terhadap apa jua yang berlabel MELAYU. Apa bukti Naib Canselor UM itu adalah boneka kepada pihak politik tertentu?

Adakah pernah Dr. Abdul Rahim paksa atau promo mana-mana parti politik dalam program di kampus UM? Apa maksud kebebasan akademik yang Wong Yan Ke laungkan jika Pusat Kajian Kecemerlangan Universiti Malaya tidak boleh menganjurkan program yang menghimpunkan ahli-ahli akademik dari IPTA-IPTA lain seluruh negara hanya kerana ada perkataan MELAYU di situ?

Apa pula bukti yang menuduh Naib Canselor Universiti Malaya itu bersikap rasis dan mempromosi kebencian seperti yang tertulis dalam plakad Wong Yan Ke tersebut? Saya cuba mencari sebarang rekod sama ada dalam bentuk teks atau rakaman video yang datang dari Naib Canselor tersebut yang boleh dijadikan bahan bukti untuk menunjukkan dirinya seorang rasis tetapi hakikatnya TIIADA!

Jika penganjuran Kongres Maruah Melayu pada 6hb Oktober lalu di Stadium Malawati, Shah Alam yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bersama beberapa menteri-menteri kabinet, pihak pembangkang dan NGO-NGO pro Melayu itu dianggap rasis, maka adakah kita mahu tuduh Polis Diraja Malaysia yang memberikan permit program itu salah pula?

Jawapannya anda (Wong Yan Ke) alergik dengan penyatuan Melayu oleh pihak akademik negara ini. Bagaimana pula jika ada sultan atau Yang Dipertuan Agong menyeru umat Islam negara ini bersatu padu ketika khutbah Jumaat atau ketika memberi ucapan sempena Aidilfitri, adakah itu juga dianggap rasis oleh Wong Yan Ke?

Sejak bila menyeru perpaduan sesuatu kaum itu dianggap rasis dalam negara ini? Adakah Wong Yan Ke berfikir semua Melayu yang sokong perpaduan sesama mereka secara automatiknya akan bersifat rasis terhadap kaum lain? Sejak berakhirnya Kongres Maruah Melayu tersebut saya lihat Malaysia masih aman sejahtera, tiada rusuhan menggila seperti di Hong Kong atau di Indonesia ketika zaman Reformasi dulu.

Melayu masih lagi berurus niaga dengan kaum-kaum lain, kerja jalan seperti biasa. Universiti Malaya? Kedudukan universiti tersebut makin cemerlang di pentas dunia ketika Dr. Abdul Rahim jadi Naib Canselornya. Nak berdemo? Silakan, ada tempat dan waktunya selagi tidak melanggar undang-undang.

Kita bukan berada di Hong Kong atau di Amerika Syarikat. Negara ini masih mempunyai ketertiban dan kesusilaan yang perlu dijaga. Nak menuduh biar berfakta dan berhujah, bukan dengan retorik atau emosi.

90% kandungan ucapan dalam Kongres Maruah Melayu tersebut adalah menegur kekurangan orang Melayu itu sendiri. Melayu tegur Melayu, di manakah rasisnya?

Saya akan sokong saudara Wong Yan Ke JIKA terbukti Naib Canselor UM sekarang adalah seorang yang korup, pecah amanah, bergaya hidup tidak sesuai dengan reputasinya seorang ahli akademik, tidak bermoral, melanggar undang-undang negara atau jelas menghasut supaya Melayu bermusuhan dengan kaum-kaum lain. Namun adakah semua itu berlaku?

Oleh yang demikian saya menyokong agar pihak polis menyiasat perbuatan pelajar tersebut. Saya juga menyokong tindakan Universiti Malaya menahan ijazah graduan yang kurang ajar seperti ini sepertimana UiTM pernah menahan diploma seorang graduan MELAYU akibat beliau berswafoto di pentas konvokesyen universiti tersebut tidak lama dahulu.

*Penulis adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu